Kelemahan SST Dan Diganti Dengan GST

Perlu diingatkan bahawa pelaksanaan GST tidak menambah bilangan cukai sedia ada. Ia sebenarnya menggantikan sistem cukai sedia ada, iaitu cukai jualan dan perkhidmatan (Sales and Service Tax) atau mudahnya disebut SST.

Dengan pengenaan cukai jualan sebanyak 10% dan cukai perkhidmatan sebanyak 6%, pengguna sebenarnya telah menanggung cukai sebanyak 16% bagi setiap barangan yang dibeli selama ini. Ertinya, sebaik sahaja cukai GST dikuatkuasakan pada 1 April ini, SST akan dimansuhkan dan pengguna hanya dikenakan cukai GST 6% sahaja.

Dalam masa yang sama, cukai korporat dan cukai pendapatan individu dijangka mengalami sedikit perubahan yang bakal menambah pendapatan boleh guna. Di pihak kerajaan pula, SST mempunyai banyak kelemahan.

Antaranya ialah masalah cukai tersembunyi, cukai bertindih, tiada pelepasan cukai sepenuhnya ke atas barangan yang dieksport, kelakuan sabotaj ekonomi seperti mengelak membayar cukai, menyembunyikan sumber, aliran dan pendapatan kewangan syarikat, memonopoli barang dan sukatan harga serta pelbagai kegiatan lain yang tidak bermoral menurut perspektif ekonomi.

Dengan kata lain, SST tidak sekadar membebankan pengguna secara tersembunyi, malah kutipan hasil kerajaan berada di bawah kemampuan ekonomi sebenar. Jauh lebih penting adalah usaha radikal untuk meningkatkan pendapatan negara dalam mengharungi suasana ekonomi yang agak mencabar.

Oleh Profesor Madya Dr Ahmad Azrin Adnan,
Felo Penyelidik Institut Penyelidikan Produk dan Ketamadunan Islam (Inspire) Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza).