Kerajaan Persekutuan Minta Lanjutan Sebab Kerajaan Negeri Lewat Selesaikan Beberapa Isu

Keputusan drastik Azmin Ali dilihat bakal menjejaskan hasrat Kerajaan Persekutuan untuk membina Loji Rawatan Air Langat 2 dan bakal mengundang krisis air di Selangor bakal berpanjangan tanpa penyelesaian.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, kerajaan Persekutuan tidak melanggar apa-apa perjanjian yang ditetapkan dengan kerajaan negeri seperti yang didakwa Azmin.

“Keputusan yang diambil bercanggah dengan Memorandum Persefahaman (MoU) dan Heads of Agreement (HoA) yang dipersetujui kedua pihak 26 Februari dan 1 Ogos tahun 2014.

“Kerajaan Negeri Selangor masih belum menyempurnakan perjanjian utama yang ditandatangani pada 12 September lalu, itu sebabnya kami minta penangguhan. Kerana masih ada isu yang belum diselesaikan kerajaan negeri sendiri,” katanya ketika ditemui dalam sidang media.

Antara isu yang masih belum diselesaikan oleh Kerajaan Negeri termasuk urusan pindah milik aset air kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) untuk membolehkan PAAB menyediakan peruntukan berjumlah RM1.68 bilion bagi membantu Air Selangor membiayai kos pengambilalihan syarikat-syarikat konsesi air.

“Isu lain yang timbul termasuk urusan pindah milik aset air syarikat-syarikat konsesi air (Consession Companies Water Assets-CCWA) kepada PAAB sebagai balasan kepada pengambilalihan liabiliti syarikat-syarikat konsesi oleh PAAB yang berjumlah RM7.65 bilion.

“Kerajaan Negeri juga masih belum memuktamadkan senarai aset miliknya untuk membolehkan Lesen Individu Kemudahan dikeluarkan kepada Air Selangor,” katanya.

Dr Maximus yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu berkata, tempoh lanjutan yang diminta Kerajaan Persekutuan adalah disebabkan kelewatan kerajaan negeri menyelesaikan isu-isu yang disebut dan bukannya diminta atas sebab lain.

“Kemajuan pelaksanaan Projek Loji Rawatan Air Langat 2 dan Sistem Agihannya (LRAL2) sehingga 25 Februari 2015, kemajuan fizikal khususnya bagi pembinaan komponen loji rawatan air hanyalah pada 1.18 peratus berbanding jadual iaitu 3.43 peratus.

“Kelewatan ini hanya berlaku kerana Kerajaan Negeri Selangor mengarahkan agensi dan pihak berkuasa tempatan menangguhkan pengeluaran segala kelulusan dan permit untuk pembinaan loji tersebut sehingga penstrukturan ditamatkan,” katanya lagi.

Justeru itu, Kerajaan Negeri Selangor disaran mengkaji semula keputusan menamatkan perjanjian air negeri itu.

Ini kerana tindakan tersebut boleh memberi implikasi besar terhadap industri perkhidmatan bekalan air di negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.