Khalid Ibrahim Terkejut Azmin Batal Langat 2

Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim melahirkan rasa terkejut atas pengumuman sebelah pihak yang dibuat Menteri Besar Selangor, Azmin Ali berhubung keputusan untuk menamatkan perjanjian air antara kerajaan negeri dengan Pusat.

Namun begitu, beliau memaklumkan tidak dapat mengulas lanjut soal keputusan itu ekoran kekurangan butir pengumuman.

“Kami sangat terkejut dengan pengumuman tidak rasmi yang dibuat Menteri Besar Selangor tentang tidak menyambung MoU antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri.

“Namun, butiran pengumuman terlalu kurang untuk kami memberi sebarang komen,” katanya.

“Kami ingin mengulangi bahawa penstrukturan semula air yang bermula pada 2008 itu bertujuan untuk memberi manfaat kepada rakyat.

“Saya secara peribadi percaya bahawa kedua-dua kerajaan-kerajaan negeri dan Persekutuan mesti mengakui kesilapan dan bersetuju dengan satu penyelesaian yang akhirnya akan memanfaatkan rakyat,” katanya.

Menurut Abdul Khalid, perjanjian berat sebelah sebelum ini yang lebih memihak kepada syarikat konsesi menyebabkan rakyat telah menanggung kerugian sejak sekian lama.