Lim Guan Eng – “DAP Tak Sertai Kita Lawan”

Kerajaan DAP Pulau Pinang mengarahkan semua wakil rakyatnya berada di kawasan masing-masing esok, sekali gus tidak menyertai perhimpunan kemuncak #KitaLawandijadual di hadapan kompleks beli-belah Sogo di Kuala Lumpur.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng, berkata semua Ahli Dewan Undangan Negeri Pakatan Rakyat perlu berada di kawasan masing-masing untuk majlis Program Penghargaan Warga Emas.

Katanya, perhimpunan #KitaLawan hanya dianjurkan oleh sayap Pemuda, dan oleh itu sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, beliau harus memberi keutamaan kepada projek rakyat.

“Kami adalah sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan esok adalah pelancaran Program Penghargaan Warga Emas di semua kawasan. Semua wakil rakyat telah diarah supaya berada di kawasan masing-masing,” katanya kepada pemberita.

Lim berkata, beliau sendiri juga mempunyai program di kawasannya di Air Putih pagi esok dan tidak akan menghadiri perhimpunan di Kuala Lumpur itu yang mahu diadakan oleh PKR bagi menyatakan sokongan kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini ditahan di Penjara Sungai Buloh, Selangor.