Lim Kit Siang Ajak Bentuk Kerajaan Baru, Bendung Hudud

Kewajaran pembentukan kerajaan baharu melibatkan ahli Parlimen parti kerajaan dan pembangkang dianggap relevan bagi mempertahan Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang seperti yang dipetik dari Roketkini.com mendakwa, kemelut BN dan PR semakin meruncing serta langkah untuk mengemukakan usul persendirian bagi melaksanakan hudud di Kelantan oleh Pas akan menimbulkan krisis Perlembagaan, khususnya jika Umno menyokong enakmen berkenaan.

“Jika enakmen hudud kerajaan Pas Kelantan diluluskan menerusi dua usul persendirian di Parlimen dengan majoriti mudah, pelaksanaan undang-undang itu akan bertentangan dengan Perlembagaan dan boleh dicapai di mahkamah kerana bertentangan dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan berkenaan ‘Kesamarataan di sisi undang-undang’.

“Dalam senario politik baharu sedemikian, di mana Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak) mengumumkan sokongan Umno terhadap enakmen hudud Pas, mungkin tiba masanya untuk membentuk pakatan ‘Selamatkan Malaysia’ yang terdiri daripada Ahli Parlimen dari parti kerajaan dan pembangkang yang mahu mempertahankan Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang dengan seorang Perdana Menteri dan kerajaan Malaysia yang baharu,” kata Kit Siang dalam majlis makan malam Ulangtahun DAP Bukit Bintang, malam semalam.

Saranan penasihat DAP, Lim Kit Siang bagi pembentukan satu gabungan baharu yang dinamakan “Save Malaysia” tidak lebih daripada gimik politik semata-mata, kata Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata, pemimpin-pemimpin BN sentiasa kekal dengan agenda menyatu dan mengukuhkan perpaduan di kalangan rakyat demi kestabilan, dengan hasrat membangunkan negara.

Sedangkan menurutnya saranan pemimpin veteran DAP itu tidak lebih kepada cakap-cakap politik sahaja yang kononnya mahukan perpaduan, namun dari segi amalan tiada apa yang dilakukannya dalam usaha menyatupadukan rakyat.

“Ini politik mereka, dia cakap sahaja. Bila mereka datang ke Sarawak ini kata mereka BN jahat, tapi bila berhadapan dengan masalah, nak berpakat pula,” katanya dalam satu persidangan media.