PAS dijangka Berpecah Menjelang Muktamar Jun 2015

PAS dijangka berpecah menjelang Muktamar 2015 pada Jun berikutan kemunculan kumpulan yang tidak sehaluan dengan kepimpinan ulama dalam parti itu.

Kenyataan itu dibuat oleh Ketua Pegawai Operasi Pusat Penyelidikan PAS, Dr Mohd Zuhdi Marzuki kepada pemberita selepas menjadi anggota panel Wacana Ilmiah: PAS: Semalam, Hari Ini dan Esok di Pengkalan Chepa di Kota Bharu, Jumaat malam.

“Saya yakin selepas Muktamar PAS 2015 ini akan berlaku dalam PAS iaitu akan ada dua kumpulan dengan satu daripadanya akan berpecah dari PAS dan tubuh parti baharu, itulah penyelesaian yang akan menyebabkan PAS kembali kepada suasana harmoni,” katanya dilapor Bernama.

Dr Zuhdi turut berkata gerakan menjatuhkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, bukan perkara baharu, malah ia sudah bermula sejak dari tahun 1998.

Selepas Anwar Ibrahim dipecat daripada UMNO pada 2 September 1998, PAS mula diresapi kemasukan banyak kumpulan dari luar yang membentuk budaya berpasukan dalam PAS.

“Sebelum itu (1998) budaya ‘team’ tidak ada dalam PAS tetapi ia muncul selepas itu (1998) dan sekarang ini ia menjadi semakin membarah,” katanya.

Mengenai cabaran lain yang sedang dihadapi PAS, beliau berkata PAS sekarang sedang berhadapan dengan wajah sebenar DAP, rakan sekutunya dalam pakatan pembangkang, terutama menentang pelaksanaan hukum hudud di Kelantan.

“Kita (PAS) perlu hadapi cabaran itu dengan jiwa besar iaitu kita masih melihat ada ruang untuk perkukuhkan hubungan dengan DAP dan (Parti Keadilan Rakyat) PKR tetapi dengan harapan DAP dan PKR faham susur galur pembentukan masyarakat dan negara Malaysia,” katanya lagi.

Sejak penubuhan PAS, parti itu mengalami perpecahan beberapa kali, antaranya; tertubuhnya Parti BERJASA (Barisan Jamaah Islamiah Se Malaysia) dan Parti Hizbul Muslimin Malaysia (HAMIM).

Parti BARJASA ditubuhkan pada tahun 1977 oleh Dato’ Haji Muhamed Nasir, bekas Menteri Besar Kelantan, selepas beliau dipecat daripada PAS.

Muhamed Nasir ketika itu berkrisis dengan Presiden PAS, Tan Sri Dr. Haji Asri Muda.

Parti HAMIM ditubuhkan pada tahun 1983 oleh bekas Presiden PAS, Asri Muda selepas beliau ditolak oleh kumpulan ulama dalam parti itu.

Selepas pengunduran Asri Muda, bermulalah era kepimpinan ulama dalam PAS, bermula dari Tuan Guru Haji Yusuf Rawa (1982 – 1989), Dato’ Haji Fadzil Mohd Noor (1989 – 2002) dan Dato’ Seri Abdul Hadi Awang (2002 hingga sekarang).

Selain pecahan besar seperti dua parti di atas, terdapat juga pecahan kecil, antaranya, parti IKATAN (Ikatan Masyarakat Islam Malaysia), ditubuhkan dalam tahun 1991, di bawah pimpinan Abdul Wahab Yunus, bekas Ahli Parlimen PAS Dungun.

IKATAN kemudian diambil alih oleh sekumpulan penyokong Anwar Ibrahim dan menukarkan parti itu menjadi Parti Keadilan Nasional (Keadilan) pada tahun 1999.