PAS Takkan Sertai Perhimpunan #kitalawan

PAS hari ini menafikan telah mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengarahkan ahli dan penyokongnya menyertai Himpunan #KitaLawan esok.

Surat palsu:

Penafian tersebut dilakukan berikutan satu kenyataan yang menggunakan nama Presiden PAS, Abdul Hadi Awang yang dikesan penyebarannya melalui mesej Whatsapp dan Facebook sejak pagi tadi.

Menurut Setiausaha Akhbar kepada Presiden PAS, Ahmad Shamsuri Mukhtar yang dihubungi sebentar tadi kenyataan akhbar tersebut adalah palsu.

“Sehingga kini tiada kenyataan akhbar yang telah dikeluarkan oleh Tuan Guru Presiden.”

“Presiden akan mengeluarkan kenyataan mengenainya sebentar lagi,” ujarnya.

Shamsuri turut mengesahkan sehingga kini tiada sebarangan arahan yang dikeluarkan untuk ahli PAS menyertai perhimpunan esok.

Dalam kenyataan media yang disahkan palsu itu Hadi didakwa telah menyeru seluruh kepimpinan dan ahli PAS supaya turun berjihad seiring dengan PKR dan DAP sebagai tanda solidariti kepada Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim.