Permainan Pakatan Rakyat yang Mengelirukan Rakyat

Permainan Pakatan Rakyat yang mengelirukan rakyat.

Pada tahun 1999, para penyokong Anwar Ibrahim telah menubuhkan sebuah parti baru yang dipanggil Parti Keadilan Nasional. Beberapa bulan kemudian, parti ini membentuk sebuah pakatan dengan DAP, PAS dan PRM yang dipanggil Barisan Alternatif.

Tidak lama selepas itu, pakatan Barisan Alternatif ini menemui jalan buntu lalu runtuh apabila PAS berjaya meminda Undang-Undang Syariah di dalam Dewan Undangan Negeri Terengganu yang antaranya terkandung perkara mengenai undang-undang Hudud.

Semasa Pilihanraya Umum 2004, PKR (kononnya gabungan antara PKN dan PRM), DAP dan PAS bergabung untuk menghadapi pilihanraya bagi mengelakkan berlakunya pertembungan tiga penjuru sesama mereka. Di sesetengah kawasan parlimen, perjanjian ini gagal ditepati apabila ada sesetengah calon ‘bebas’ melanggar arahan parti dan berkeras untuk bertanding.

Saya berkata ‘kononnya gabungan antara PKN dan PRM’ kerana sebenarnya ia bukanlah gabungan dalam erti kata sebenar tetapi yang berlaku adalah ahli PRM ‘meninggalkan kapal’ dan menyertai PKN lalu PKN menukar namanya kepada PKR.

Pada tahun 2008, mereka membentuk satu gabungan baru yang dinamakan sebagai Pakatan Rakyat. Tidak seperti Barisan Nasional, ianya bukan sebuah parti yang berdaftar. Ia hanyalah sebuah perjanjian atau satu pakatan.

Dan sebab itulah kita melihat begitu banyak pergeseran dan perselisihan faham yang berlaku di dalam Pakatan Rakyat. Gabungan ini tidak terjamin dari segi undang-undang dan sebab itulah lebih sibuk menjaga kepentingan masing-masing dari menjaga kepentingan pakatan itu sendiri.

Masalah kedua yang begitu mencengkam Pakatan Rakyat adalah keengganannya untuk membentuk Kabinet Bayangan, seperti yang dilakukan oleh Barisan Alternatif pada tahun 1999. Jika mereka boleh melakukannya ketika itu, mengapa mereka tidak boleh melakukannya sekarang? Di kebanyakan negara, termasuk England, negara yang mengamalkan sistem Parlimen Westminster British akan mempunyai kabinet bayangan.

Sebab mengapa Pakatan Rakyat tidak mampu untuk membentuk kabinet bayangan adalah mereka tidak dapat mencapai persetujuan siapa yang akan menganggotai kabinet ini. Jika berlaku keadaan di mana Pakatan Rakyat dapat membentuk kerajaan persekutuan, kabinet bayangan ini akan menjadi kabinet kerajaan yang memerintah. Dan Pakatan Rakyat masih lagi tidak mahu rakyat Malaysia mengetahui siapa yang akan menganggotai kabinet ini.

Semasa demonstrasi di hadapan Sogo di Kuala Lumpur semalam, nama dan gambar Tun Dr Mahathir Mohamad tertera pada poster dan kain rentang yang dibawa oleh peserta demonstrasi. Apa yang ingin dijelmakan dari ini adalah Dr Mahathir kini berada di belakang pembangkang dan beliau juga mahukan Anwar dibebaskan dari penjara dan Perdana Menteri Najib Tun Razak meletak jawatan.

Adakah ini mesej dari Pakatan Rakyat untuk rakyat Malaysia bahawa: Dr Mahathir akan mengambil alih jawatan Ketua Pembangkang dari Anwar Ibrahim?

Oleh Datuk Seri Panglima Salleh Said Keruak,
Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah,
http://sskeruak.blogspot.com/2015/03/pakatan-rakyats-game-of-confuse-public.html