PKR Arah Adunnya Tolak Hudud

PKR telah mengarahkan wakilnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Mohd Roslan Puteh untuk tidak menyertai perbahasan dan pengundian ke atas rang undang-undang hudud di negeri itu.

Ia membawa maksud parti itu tidak dibenarkan terlibat dengan sebarang usaha yang boleh dikaitkan sebagai menyokong rang undang-undang hudud DUN Kelantan.

Dalam satu kenyataan yang ditandangani Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan para pemimpin tertingginnya, parti itu menegaskan pendirian parti itu adalah hudud bukannya syariat Islam yang perlu diutamakan.

“PKR mengambil pendirian bahawa syariat Islam merangkumi kesemua ruang hidup dan bermasyarakat. Selain dari hukuman hudud ke atas enam kesalahan di atas, syariat Islam turut meliputi persoalan perkerajaanan, diplomatik, tatacara ekonomi, hubungan dengan bukan Islam dan perkara muamalah lain-lain.

“Makanya, kanun hudud seperti yang diterjemahkan ke dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah II pada hari ini adalah sebahagian dari syariat besar Islam.

“Oleh sebab itulah, PKR berbeza pandangan mengenai keutamaan yang perlu didahulukan dalam melaksanakan syariat Islam yang menyeluruh ini. PKR percaya bahawa memutuskan keutamaan masyarakat adalah sebahagian dari pertimbangan fiqh al-awlawiyyat (keutamaan amalan/dasar) yang boleh dibincangkan di dalam sesebuah masyarakat.

“Dalam perkembangan mutakhir, PKR meletakkan keutamaan kepada memperbetulkan ketidakadilan di dalam masyarakat dan membela kebajikan rakyat sebagai keutamaan yang lebih tinggi dari melaksanakan undang-undang hudud ke atas enam kesalahan tadi mengikut kaedah fiqh al-awlawiyyat,” kenyataan media PKR yang disiarkan Malaysiakini dipetik.

Sementara itu, The Malaysian Insider memetik kenyataan Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli yang akan menyiasat sama ada wakil tunggal mereka, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guchil, Mohamad Roslan Puteh turut terlibat dalam sidang DUN berkaitan dengan rang undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) hari ini.

Rafizi berkata, pihaknya sudah mengarahkan Mohamad Roslan supaya tidak terlibat dalam proses berkenaan kerana ia bertentangan dengan pendirian parti.

“Kami mengarahkan ADUN kami untuk tidak berada di sana dan tidak mengambil bahagian.

“Beliau tidak ada di sana semalam, tapi kami sedang memeriksa sama ada beliau ada di sana hari ini,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.