PKR Mahu Saman Penjara Halang Anwar Hadiri Parlimen

PKR hari ini menyatakan kemungkinan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Jabatan Penjara Malaysia kerana tidak membenarkan Ketua Umum parti mereka Anwar Ibrahim hadir ke persidangan Dewan Rakyat minggu depan.

“Yang pertama kita akan terus berurusan dengan Speaker… saya akan cuba dapatkan beliau.

“Yang kedua saya akan bincang dengan teman-teman dan mungkin selepas ini akan ke mahkamah dan mungkin akan bawa Ketua Pengarah Penjara, Datuk Seri Zulkifli Omar ke mahkamah.

“Anda halang seorang Ahli Parlimen ke Parlimen ketika dia masih lagi Ahli Parlimen… ini sesuatu yang serius,” kata Ketua Whip Ahli Parlimen PKR, Datuk Johari Abdul pada sidang media di ibu pejabat PKR, Petaling Jaya pada Khamis.

Bagaimanapun katanya tindakan mahkamah itu akan dibincangkan terlebih dahulu bersama kepimpinan PKR dan juga peguam mereka, N Surendran dan Latheefa Koya termasuk pihak dari Pakatan Rakyat.

Semalam, Yang DiPertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia telah menerima salinan surat Ketua Pengarah Penjara Malaysia yang menolak permohonan Anwar untuk menghadiri persidangan Dewan Rakyat 9 Mac ini.

Menurut sumber, permohonan Anwar kerana beliau kini tertakluk akta, peraturan dan prosedur Penjara Malaysia.

Sebelum ini, kenyataan daripada pihak Penjara Malaysia menyatakan layanan serta kemudahan terhadap semua banduan termasuk Anwar adalah sama selaras dengan ketetapan akta, peraturan penjara dan prosedur penjara.

“Keputusan, tindakan serta langkah yang diambil oleh Jabatan Penjara adalah berasaskan ketetapan akta, peraturan dan prosedur penjara yang diguna pakai untuk menguruskan semua banduan.

“Sebarang layanan istimewa daripada kakitangan penjara akan diambil tindakan,” kata Timbalan Pengarah Dasar Kepenjaraan, Supri Hashim dalam satu kenyataan.