PM Arah Ketua Audit Negara Siasat 1MDB

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengarahkan Ketua Audit Negara, meneliti akaun syarikat milik kerajaan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berikutan laporan media terhadap syarikat itu baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan pada Rabu, beliau juga telah menggesa 1MDB dan juruaudit mereka Deloitte menghadap Kabinet.

Menurut kenyataan tersebut, 1MDB telah memberi taklimat berkenaan situasi semasa selain memberi respon kepada soalan-soalan yang dilontarkan oleh Menteri-menteri Kabinet termasuk Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

“Deloitte menyediakan satu ulasan penglibatan mereka dengan 1MDB dan mengesahkan bahawa firma itu telah mengaudit dan mengesahkan akaun syarikat.

“Kabinet dimaklumkan bahawa dakwaan baru-baru ini yang ditujukan kepada 1MDB, berkait dengan urus niaga yang dijalankan oleh pihak ketiga seperti PetroSaudi, dan bukannya 1MDB,” kata kenyataan itu lagi.

Kabinet, setelah mendengar penjelasan 1MDB dan Deloitte, menyatakan keyakinan bahawa tiada kesalahan yang dilakukan oleh 1MDB.

Berhubung akaun 1MDB, selepas ia diteliti Ketua Audit Negara, ia kemudiannya akan diserahkan untuk pemeriksaan Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) selaku badan mewakili kedua-dua pihak (penyokong kerajaan dan pembangkang) berdasarkan keanggotaan dalam Parlimen.

“Jika terdapat sebarang salahlaku, undang-undang akan dikuatkuasakan tanpa pengecualian,” kata Najib.

Sementara itu, 1MDB dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sejurus selepas itu menyifatkan serangan yang ditujukan terhadap mereka sebagai berniat politik.

“Ini percubaan yang sengaja dibuat untuk melemahkan syarikat dengan menyebarkan dakwaan tidak berasas dan spekulasi, yang seterusnya berpotensi menjejaskan ekonomi.

“Sehubungan ini, 1MDB menyambut baik permintaan Perdana Menteri untuk Ketua Audit Negara meneliti akaun 1MDB, yang telah diaudit oleh Deloitte, salah satu daripada firma terkemuka di dunia,” kata kenyataan itu.

1MDB bagaimanapun berkata akan bekerjasama sepenuhnya dengan Ketua Audit Negara dan berharap bahawa hasil penemuan itu akan menjawab segala spekulasi yang timbul.