Pulau Pinang Mesti Putuskan Hubungan Dengan DAP

Pulau Pinang mesti memutuskan semua hubungan dengan PAS kerana parti Islam itu mengkhianati Pakatan Rakyat (PR) dengan meneruskan rancangan hudud di Kelantan, kata seorang wakil rakyat DAP hari ini.

Ahli Parlimen Jelutong Jeff Ooi berkata, tindakan PAS membentangkan pindaan kepada Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan II 1993 semalam menunjukkan parti itu tidak boleh dipercayai.

Katanya, kerajaan negeri PR itu mesti serta-merta menghentikan semua bentuk kerjasama dengan PAS, termasuk kerajaan tempatan, jawatankuasa keselamatan kampung (JKKK) dan pegawai luar.

“Apa dilakukan oleh PAS adalah pengkhianatan terhadap semangat PR dan mereka tidak lagi boleh dipercayai. PR mesti mengambil tindakan tegas untuk menunjukkan kepada parti Islam itu bahawa tindakan khianat itu tidak suci dan tidak boleh diterima,” lapor The Malay Mail yang memetik Ooi sebagai berkata dalam sidang akhbar di pusat perkhidmatannya di Jelutong di sini.

Beliau menyeru semua ahli PAS memegang jawatan dalam kerajaan tempatan sebagai ahli majlis, pegawai luar dan ahli JKKK untuk digantung dengan serta-merta.

Beliau juga mencadangkan wakil rakyat tunggal PAS, Mohd Salleh Man, dikeluarkan dari jawatannya sebagai Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP).

Ooi menuduh PAS bekerjasama dengan Umno di Kelantan dengan tujuan untuk menggugatkan PR dan seterusnya mengambil alih kuasa kerajaan negeri Selangor.

PAS mempunyai 15 daripada 43 kerus di DUN Selangor manakala Umno menguasai 12 kerusi dengan seorang Bebas. Jika ia membentuk kerajaan perpaduan PAS-Umno, ia menguasai 28 daripada 43 kerusi.

Ooi juga mengingatkan dengan pembentangan rang undang-undang itu di Kelantan, ia akan bersambung di Parlimen melalui rang undang-undang persendirian.

Pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 yang dibentang di DUN Kelantan semalam, diluluskan hari ini dengan sokongan daripada semua 44 wakil rakyat.