Putus Dengan Presiden, Putus Dengan Parti

Beberapa pemimpin kanan PAS hari ini mempersoalkan tindakan DAP memutuskan hubungan dengan presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang, menyifatkannya sesuatu yang janggal dan susah diterima.

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keputusan DAP malam tadi sesuatu yang janggal kerana parti itu tidak boleh memutuskan hubungan dengan Hadi seorang.

Sebaliknya, Tuan Ibrahim berkata keputusan itu satu isyarat DAP mahu memutuskan hubungan dengan parti Islam itu.

“Keputusan itu keputusan yang kita rasa janggal, sebab presiden mewakili parti. Tiada istilah putus dengan presiden, tetapi putus dengan PAS.

“Kami mendukung kepimpinan presiden dan apa-apa yang berlaku pada presiden bermakna berlaku pada PAS.

“Bagi PAS, kami bersama dengan presiden. Sebarang keputusan khusus untuk presiden, bagi PAS itu keputusan yang janggal dan pelik,” katanya.

Mengulas gesaan Lim supaya Hadi meninggalkan PR jika ingin meneruskan pembentangan rang undang-undang persendirian hudud di Parlimen, Tuan Ibrahim berkata DAP yang perlu meninggalkan gabungan itu.

Katanya, bukan sesuatu yang janggal bagi DAP meninggalkan PR kerana parti itu pernah berbuat demikian ketika isu hudud dibangkitkan PAS sebelum ini.

“Mereka pernah buat benda yang sama dulu. Dulu DAP pernah tarik diri dari PR. Kalau mereka rasa tak selesa, mereka harus buat keputusan yang sama untuk tarik diri.

“Bagi PAS, tiada parti yang boleh memecat atau mengeluarkan mana-mana parti dalam PR kecuali parti tersebut nak tarik diri.

“Mereka pun dah kemukakan satu pakatan baharu seperti kata Lim Kit Siang dua hari lepas. Saya fikir mereka kena bergerak begitu,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Kit Siang, ketua Parlimen DAP, pada Ahad mencadangkan pembentukan “Selamatkan Malaysia”, satu gabungan antara PR dan Barisan Nasional (BN).

Katanya, gabungan yang bertujuan memelihara Perlembagaan Persekutuan dan keluhuran undang-undang itu bagi membolehkan PR dan BN mengenal pasti masalah masing-masing selepas PAS berkeras melaksanakan hudud di Kelantan.

Ditanya mengenai dakwaan DAP yang Hadi tidak jujur dan tidak bermaruah dalam menjalinkan kerjasama bersama PR, Tuan Ibrahim berkata DAP juga tidak boleh dipercayai.

Katanya, kerajaan Pulau Pinang yang pernah membawa usul pilihan raya kerajaan tempatan di Dewan Undangan Negeri juga membuktikan DAP membelakangkan PR.

“Kalau atas alasan DAP, kononnya PAS membelakangkan PR, DAP pun tak boleh dipercayai sebab bawa usul pemilihan kerajaan tempatan dalam Dewan Undangan Negeri tanpa bawa kepada PR.

“Alasan itu sebenarnya balik pada dia. Berapa banyak keputusan mereka membelakangkan PR? Saya fikir mereka perlu buat keputusan tarik diri, itu lebih baik,” katanya.