SAMM Cabar Azmin Isytihar Harta

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Selangor mencabar Menteri Besar Selangor, Azmin Ali, anggota exco, wakil rakyat dan ahli-ahli majlis perbandaran tempatan (PBT) di negara tersebut untuk mengisytiharkan harta masing-masing.

Penyelaras Bersama SAMM Selangor, Megat Khairul Anuar berkata, sebagai seorang wakil rakyat dan Menteri Besar, Azmin katanya perlu berani untuk mengisytiharkan harta beliau dan isterinya.

Azmin juga diminta untuk mewajibkan setiap exco, wakil rakyat dan ahli majlis PBT Selangor mengambil tindakan serupa.

“SAMM Selangor tertanya-tanya mengapakah Menteri Besar Selangor masih berdiam diri?

Hanya Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar yang tampil menyatakan kesediaan mereka untuk mengisytiharkan harta.

Agak lucu pada hari ini apabila Rafizi membuat kenyataan akan mengisytiharkan harta beliau di lobi Parlimen nanti.

Sedangkan kenyataan ini ditujukan kepada Azmin tetapi orang lain pula yang memberikan respon,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.