Sasat Dakwaan Penstrukturan Perjanjian Air Selangor

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didesak supaya segera membuat siasatan terbuka proses penstrukturan semula industri air Selangor.

Mantan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata nilai aset industri air negeri Selangor yang dianggarkan mencecah RM20 billion itu terdedah kepada perjanjian berat sebelah melibatkan syarikat-syarikat konsesi yang cuba mengaut keuntungan lebih.

“Memandangkan saiz industri air Selangor dan potensi meraih keuntungan berlebihan oleh pemegang konsesi akibat perjanjian konsesi berat sebelah, saya mendesak agar semua pihak berkenaan tidak berlengah-lengah lagi memulakan siasatan terbuka terhadap segala dakwaan rasuah atau penyelewengan.

“Jangan sampai akhirnya rakyat Selangor terpaksa membayar melebihi ‘price tag’ keseluruhan yang telah dipersetujui sekian lama iaitu RM9.65 billion,” kata ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu ketika membahaskan titah ucapan Yang Dipertuan Agong di Dewan Rakyat di sini.

Tiga daripada empat syarikat konsesi air sebelum ini bersetuju dengan tawaran kerajaan negeri Selangor mengambil alih ekuiti, aset dan liabiliti bagi tujuan penstrukturan semula industri air di Selangor.

Syarikat terbabit adalah dua anak syarikat Puncak Niaga Holdings Berhad (PNHB), iaitu Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB) dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) dan Konsortium Abbas Sdn Bhd (ABBAS).

Pemegang saham Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) tidak bersetuju dengan tawaran Selangor sebelum ini.