4 Langkah Cadangan Untuk Meningkatkan Simpanan Persaraan Pencarum Oleh KWSP

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan empat langkah cadangan untuk meningkatkan simpanan persaraan pencarum. Bagi tujuan itu, KWSP akan melaksanakan proses mendapatkan maklum balas daripada pencarum serta pihak berkepentingan berkaitan mengenai keempat-empat langkah berkenaan sebelum membuat keputusan berhubungnya.

Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Shahril Ridza Ridzuan, berkata KWSP menggunakan kaedah perundingan untuk mendapatkan maklum balas daripada ahli mengenai cadangan terbabit.

“Ini juga platform yang baik untuk ahli memahami isu dan cabaran berkaitan persaraan mereka,” katanya dalam taklimat media di sini, sebentar tadi.

1) Cadangan pertama yang dikemukakan KWSP adalah memberi pilihan terhadap penyelarasan umur pengeluaran penuh dengan umur persaraan minimum yang ditetapkan oleh kerajaan.

Bagaimanapun, tiada perubahan dibuat terhadap pengeluaran pra-persaraan sedia ada.

Terdapat dua opsyen berhubung cadangan ini:

a. Opsyen pertama ialah menaikkan umur pengeluaran penuh daripada 55 kepada 60 yang hanya akan dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh 15 tahun.

b. Opsyen kedua ialah mengekalkan pengeluaran pada umur 55 tahun sama seperti sekarang dan memperkenalkan pengeluaran umur 60 tahun bagi mereka yang terus bekerja dan mencarum selepas usia 55 tahun.

2) Sementara itu, cadangan kedua ialah memperkenalkan caruman tambahan bagi ahli yang mempunyai gaji di bawah paras gaji minimum bulanan. Ini membabitkan cadangan menjadikan mandatori kepada majikan supaya membuat sumbangan bukan sekadar daripada gaji asas, malah ditambah dengan elaun pekerja.

3) Cadangan ketiga ialah melanjutkan bayaran dividen kepada ahli yang memilih untuk terus menyimpan wang mereka di dalam KWSP daripada usia 75 tahun sekarang kepada 100 tahun. Ini bermakna, pencarum masih boleh menikmati hasil dividen setiap tahun sehinggalah usia mereka mencapai 100 tahun.

4) Cadangan keempat pula ialah untuk memperkenalkan simpanan persaraan patuh Syariah sebagai tambahan kepada skim simpanan persaraan sedia ada. Melaluinya, ahli diberikan opsyen untuk beralih kepada simpanan persaraan patuh Syariah jika ia diperkenalkan kelak.

Maklumat mengenai keempat-empat cadangan itu akan dimuat turun di dalam laman web myEPF bermula esok. Ahli boleh memberikan input dan komen mengenai cadangan berkenaan dalam tempoh dua minggu melalui i-Akaun KWSP bermula esok.