Azmi Shahrom Marah Ahli Parlimen Pembangkang Gagal Tentang POTA

Pensyarah Universiti Malaya Dr Azmi Sharom semalam mempersendakan Pakatan Rakyat (PR) dengan mengucapkan terima kasih kepada mereka kerana membenarkan undang-undang kontroversi Akta Pencegahan Keganasan 2015 (Pota) diluluskan di Parlimen awal pagi semalam.

Azmi, yang didakwa mengikut Akta Hasutan 1948 tahun lepas, sebenarnya marah terhadap pakatan pembangkang itu, yang tewas dengan hanya 19 undi pada persidangan Dewan Rakyat di mana mereka menentang undang-undang baharu itu, yang membenarkan penahanan tanpa bicara.

“Mari kita berikan tepukan yang gemuruh untuk ahli Parlimen PR yang Tuhan saja tahu di mana mereka, ketika mereka sepatutnya mengundi menentang Pota. Terima kasih banyak.”

“Anda di mana? Anda sepatutnya boleh menewaskan undang-undang itu sebab anda pun tahu di mana biasanya rakan BN anda pada jam 2 pagi. Anda sepatutnya berada di sana untuk menewaskan undang-undang itu.

“Saya marah sangat, menyebabkan saya sekarang menjadi sangat tidak sederhana,” katanya, mengundang ketawa daripada kira-kira 150 hadirin pada forum yang membincangkan mengenai kesederhanaan bertajuk “What is a Moderate Malaysia for Malaysians?” di Kuala Lumpur, malam tadi.

Rang undang-undang Pota diluluskan tanpa pindaan di Dewan Rakyat pada kira-kira jam 2.25 pagi Selasa, selepas dibahaskan hampir 14 jam.

Terdahulu, undian belah bahagian yang terakhir memihak kepada kerajaan dengan kiraan 79 bersetuju meluluskan dan 60 tidak bersetuju.

PR memenangi 89 kerusi dalam pilihan raya umum lalu tetapi kini mempunyai 86 ahli Parlimen selepas pemecatan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, DAP kalah dalam pilihan raya kecil Teluk Intan dan Datuk Seri Anwar Ibrahim disabitkan kesalahan.

Mereka cuba menepis ketidakhadiran mereka dengan pelbagai helah dan alasan. Tetapi inilah sikap ahli-ahli parlimen Pakatan Pembangkang yang hanya pandai buat bising dan berdemo sahaja tetapi gagal membuktikan kredibiliti mereka sebagai ahli parlimen dan menggunakan saluran sah dalam parlimen. Sungguh memalukan.