Azmin Ali Gagal Tangani Isu Air, Selangor Perlu Pemimpin Lain

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menasihatkan Mohamed Azmin Ali meletak jawatan Menteri Besar Selangor sekiranya gagal menyelesaikan masalah rakyat terutama penstrukturan semula air di negeri itu.

Beliau berkata, Azmin perlu berundur supaya Kerajaan Selangor diketuai oleh individu yang lebih layak, pakar dan berpengalaman yang setaraf dengan status Selangor sebagai negeri termaju.

Abdul Khalid menegaskan beliau tidak berminat untuk dilantik semula sebagai Menteri Besar tetapi bertanggungjawab menegur demi kepentingan rakyat dan negeri Selangor apatah lagi Sultan Selangor telah bertitah supaya kerajaan negeri segera menyelesaikan penstrukturan air yang telah tertangguh sejak sekian lama.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas Pelabuhan Klang itu menjelaskan, sikap berdolak-dalih Azmin dalam menyelesaikan permasalahan air telah menyusahkan rakyat yang terpaksa berdepan gangguan bekalan air.

“Selepas Perjanjian Utama dimeterai antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, persetujuan dicapai untuk membina paip air daripada Sungai Pahang ke Loji Semenyih tanpa sebarang bayaran.

“Namun, pendirian berubah-ubah yang diambil kerajaan negeri sekarang menghalang projek ini dilaksanakan dan akibatnya pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia menghadapi gangguan bekalan air yang teruk sejak beberapa bulan yang lalu,” katanya ketika membahas Ucapan Menjunjung Kasih Titah Ucapan Sultan Selangor dalam Sidang Dewan Negeri Selangor, pada Khamis.

Abdul Khalid yang juga Ahli Parlimen Bebas Bandar Tun Razak mengulangi desakan supaya kerajaan negeri kekal dengan tawaran pampasan RM9.65 bilion untuk pengambilalihan air daripada syarikat konsesi kerana jumlah itu telah memberi keuntungan yang munasabah kepada konsesi terlibat.

Beliau berkata, agak melucukan apabila Azmin mengaitkan kedudukan kewangan kerajaan Persekutuan yang kononnya hampir bankrap menyebabkan perjanjian air tidak dapat diteruskan.

“Hakikatnya penstrukturan semula industri air di Selangor tiada kaitan sama sekali dengan semua ini kerana ia telah termaktub dalam Akta Perkhidmatan Industri Air 2006,” katanya.