Azmin Tamatkan Sistem Tender Terbuka Selangor

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengkritik pentadbiran Menteri Besar Mohamed Azmin Ali kerana didakwa menamatkan sistem tender terbuka seperti yang dilakukannya sebelum ini.

Menurut Khalid, semasa beliau menjadi menteri besar sistem tender terbuka yang diperkenalkan pada 2008 itu dilaksanakan bagi menangani masalah rasuah dan salah guna kuasa.

Bagaimanapun, ADUN Pelabuhan Klang itu berkata, sistem tender terbuka yang bertujuan untuk mengurangkan peranan orang tengah itu telah ditukar oleh Azmin pada November 2014.

“Kita (semasa menjadi menteri besar) telah menggantikan rundingan terus kepada tender terbuka dan ia mampu mengelak gejala ketirisan dan rasuah.

“Natijahnya untuk mengelak orang tengah yang dapat kontrak lumayan yang mengorbankan hak dan kepentingan rakyat.

“Namun rakyat curiga dengan kenyataan menteri besar semasa dalam Dewan pada 28 November lepas bahawa kerajaan sudah menukar pendekatan tender terbuka dengan alasan tender sebut harga murah didakwa memberi implikasi buruk.

“Perkara ini perlu dikaji kerana dalam kajian kita lima tahun dulu, tak ada beza guna cara terendah dan dipilih.

“Jelas tidak mencapai kewarasan minda kerana sistem (tender) terbuka di era pentadbiran telus dan bertanggungjawab membuktikan kita dapat jimat sehingga RM100 juta setiap tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap menjunjung titah Sultan Selangor di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.

Dalam sidang DUN November lalu, Azmin berkata, sistem itu tidak digunakan dengan alasan ia menjadi punca projek yang disiapkan tidak berkualiti.

Sehubungan itu, Khalid berkata pendekatan yang digunakan oleh Azmin ini bakal mengundang “bencana”.

“Ingin saya tegaskan, pendekatan baru ini bakal mengundang bencana tata kelola dan urus tadbir pentadbiran kerana akibat gagal memberi perhatian kepada aspek value for money (berbaloi untuk wang dibelanjakan).

“Hakikatnya, mutu hasil kerja kontraktor tiada kena mengena dengan nilai kontrak. Menaikkan nilai kontrak tidak semestinya boleh memastikan peningkatan kualiti hasil kerja pada kadar sama sebaliknya, ia lebih berkait rapat dengan soal pengurusan dan kepimpinan,” katanya lagi.

http://www.malaysiakini.com/news/294078