Caj Perkhidmatan Bukan Cukai Kerajaan

Caj perkhidmatan yang dibayar oleh pengguna selama ini bukan cukai kerajaan, sebaliknya caj yang dikenakan oleh perniagaan, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chua Tee Yong.

Menurut Chua pada masa ini perniagaan restoran misalnya mengenakan kedua-dua cukai perkhidmatan dan caj perkhidmatan.

“Cukai perkhidmatan ini akan diganti dengan GST namun caj perkhidmatan tetap ada,” katanya kepada pemberita selepas perbincangan meja bulat mengenai GST antara Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

“Caj perkhidmatan bukan pendapatan kerajaan. Ia dicaj oleh perniagaan. Syarikat mungkin masih mengenakan caj ini selepas pelaksanaan GST,” katanya yang diminta mengulas mengenai tanggapan salah bahawa caj perkhidmatan merupakan satu bentuk cukai dan dikenakan oleh kerajaan.

Sementara itu, Chua memberi jaminan kerajaan tidak akan mengenakan penalti kepada syarikat yang melakukan kesilapan yang tidak disengajakan dalam tempoh dua tahun pertama pelaksanaan GST.

Katanya antara kesilapan itu ialah perhitungan kurang tepat berikutan masalah perisian.

“Buat permulaan kerajaan tidak akan mengenakan denda, malah audit yang akan dilakukan pihak kastam adalah bertujuan untuk memberi nasihat dan panduan,” katanya.

Menurutnya audit itu akan diadakan sepanjang tempoh dua tahun pertama pelaksanaan GST.