Cubaan Kaitkan Isu Air Selangor Dengan 1MDB Agak Melucukan

Petikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ucapan ketika membahaskan titah Sultan Selangor dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor:

“Sekiranya sebuah parti politik yang selama ini melaungkan agenda reformasi sebagai landasan perjuangan pun sanggup membiarkan amalan menjijikkan ini menjadi norma dan budaya dalam pentadbiran negeri, maka amatlah malang nasib rakyat Selangor kerana tiada apa lagi harapan yang tinggal untuk mereka, seolah-olah mandat besar yang rakyat beri pada PRU13 dipersia-siakan.”

“Kemudian, timbul pula dakwaan serong yang mempertikaikan keupayaan Kerajaan Persekutuan menyempurnakan penstrukturan semula industri air Selangor memandangkan kedudukan fiskalnya sekarang yang Dato’ Menteri Besar sifatkan sebagai “hampir bankrap” dan juga cubaan mengaitkan dengan timbunan hutang yang dialami oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Saya menganggap dakwaan terbaharu ini p kerana hakikatnya penstrukturan semula industri air negeri tiada kaitan sama sekali dengan semua ini kerana ia telah termaktub dalam Akta Perkhidmatan Industri Air 2006 (WSIA atau Akta 655).”

“Berdasarkan semangat dan hasrat titah DYMM Tuanku di mana baginda yakin akan pendekatan “bersemuka dan berbincang” untuk mencapai titik persefahaman, saya menyeru Dato’ Menteri Besar – dalam Dewan yang mulia ini – agar menghentikan serta-merta sifat berdolak-dalik dan cubaan mempolitikkan semua isu berkaitan industri perkhidmatan air ini di samping memberi komitmen bahawa kerajaan negeri akan memenuhi kesemua terma dan syarat yang telah digariskan dalam Perjanjian Utama.”

“Akhir kata, izinkan saya memberi sepatah dua kata nasihat kepada YAB Dato’ Menteri Besar. Sedarlah bahawa tempoh bulan madu selepas dilantik menjadi YAB Dato’ Menteri Besar pada hujung bulan September 2014 sepatutnya sudah lama berakhir. Mulalah beri perhatian serius terhadap semua isu dan permasalahan rakyat dan hentikanlah permainan politik buih, sekadar meminjam “kata-kata pujangga” oleh YB Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air di Parlimen baru-baru ini.”

“Namun, sekiranya masih gagal memberi penyelesaian terbaik demi rakyat dalam semua isu terutama dalam menyempurnakan penstrukturan industri air Selangor sebagaimana titah DYMM Tuanku, maka tibalah masanya Dato’ Menteri Besar berundur supaya pentadbiran negeri boleh dikepalai oleh seseorang yang benar-benar layak dengan kompetensi, kepakaran dan pengalaman yang benar-benar sesuai dan serasi untuk negeri termaju di Malaysia seperti Selangor. Saya tidak berminat – tetapi Dewan Negeri Selangor perlu memikirkan kepimpinan yang baharu.”

Baca ucapan penuh:
https://www.facebook.com/permalink.php?story_fbid=10153222629383901&id=38012338900