Dakwaan Khalid, Selangor Hilang Kedaulatan Atas Tanah

Petikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ucapan ketika membahaskan titah Sultan Selangor dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor:

“Sejak tampuk pentadbiran negeri bertukar tangan pada hujung bulan September 2014, ramai yang memuji dan teruja atau tidak kurang juga yang merasa terhibur malah geli hati dengan pelbagai gelagat dan lagak meraih publisiti yang ditonjolkan oleh YAB Dato’ Menteri Besar baharu. Malangnya, sejak kebelakangan ini, kita sering disajikan dengan pengumuman “flip-flop” oleh pentadbiran baharu hingga membuatkan rakyat bingung dan sangat khuatir dengan hala tuju dan kredibiliti kepimpinan kerajaan negeri.”

“Malangnya, segala penat lelah dan jerih perih pegawai kerajaan dan pentadbiran sebelum ini yang terlibat dalam perbincangan untuk mencapai suatu persetujuan akhir seperti sia-sia sahaja apabila pentadbiran negeri yang baharu sering membuat kenyataan berbolak-balik mengenai penstrukturan semula industri air. Ini saya kira bukan sahaja mengelirukan semua pihak malah makin menyerlahkan kelemahan diri sendiri. Malah, ada kita dengar suara-suara yang membuat andaian bahawa mungkin sebenarnya ini semua helah untuk menggagalkan usaha murni penstrukturan semula industri air demi sebab musabab yang kita sendiri tidak dapat pastikan walaupun saya kurang percaya dengan andaian ini.”

“Dakwaan songsang utama adalah kononnya Selangor akan hilang kedaulatan ke atas 26,000 kilometer jajaran tanah di mana terdapat aset berkaitan air seperti paip, loji dan sebagainya yang akan dipindahmilik secara mutlak kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), sebuah agensi Kerajaan Persekutuan sebagai timbal balas bagi dana Kerajaan Persekutuan untuk membiayai pampasan ekuiti bernilai RM2 billion kepada empat syarikat konsesi.”

“Hakikatnya, aset berkaitan air termasuk tanah milik kerajaan negeri ini hanyalah akan dipajakkan selama 45 tahun kepada Kerajaan Persekutuan di mana dalam tempoh tersebut, aset air akan dipajak semula kepada Pengurusan Air Selangor Berhad (Air Selangor), pengendali perkhidmatan air anak syarikat kerajaan negeri dengan kadar sewa pajakan yang akan ditentukan secara sepakat di antara kerajaan negeri dan PAAB. Seusai tempoh pajakan tersebut, PAAB akan memulangkan semula semua aset berkaitan air kepada kerajaan negeri selaku pemilik yang sah. Perjanjian pajakgadai ini sebenarnya sama sebagaimana kita saksikan di negeri-negeri yang telah berjaya menyusun semula industri air mereka sebelum ini seperti Pulau Pinang, Perlis, Perak, Negri Sembilan, Melaka dan Johor.”

Baca ucapan penuh:
https://www.facebook.com/permalink.php?story_fbid=10153222629383901&id=38012338900