DAP Mahu Wan Azizah Bertanding di Permatang Pauh

DAP mahu Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bertanding dalam Pilihanraya Kecil (PRK) Permatang Pauh dan seterusnya dilantik sebagai Ketua Pembangkang di parlimen.

DAP dikatakan lebih suka jika Wan Azizah dipilih sebagai Ketua Pembangkang berbanding timbalannya yang juga Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali, lapor The Star. http://www.thestar.com.my/News/Nation/2015/04/14/DAP-wants-Wan-Azizah-Anwars-wife-said-to-be-preferred-leader-instead-of-Azmin/

Pemerhati politik berkata, PKR Permatang Pauh berpecah kerana tidak sependapat berhubung pemilihan calon untuk bertanding kerusi itu.

“Daripada lima pihak dalam PKR, tiga menentang Dr Wan Azizah sebagai calon. Malahan, mereka tidak mahu adanya ahli keluarga Anwar bertanding,” katanya.

“PKR sepatutnya mendengar suara akar umbi kerana umumnya penduduk di sini tidak lagi mahu melihat drama keluarga Anwar.

“Pada 2008, Dr Wan Azizah meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh untuk membolehkan suaminya bertanding kerusi berkenaan. Ketika itu, beliau juga menyatakan hasratnya untuk bersara dan menjaga cucunya.

“Jadi kali ini, rakyat mahu dengar apa pula alasannya jika mahu kembali ke Permatang Pauh,” katanya.

Sumber PAS pula berkata, ia suatu langkah yang sukar untuk jentera parti itu sepanjang kempen PRK Permatang Pauh.

“Ada di kalangan ahli yang berpendapat PAS seharusnya dibenarkan bertanding kerusi itu kerana mempunyai penyokong ramai di kawasan berkenaan.

“Malahan, akar umbi juga tidak berpuas hati dengan PKR berhubung pendiriannya mengenai hudud,” katanya.