Datuk Azlin Alias Sanggup Tnggalkan Dunia Korporat Untuk berbakti Kepada Negara

Datuk Azlin Alias, Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, bertugas sebagai akauntan bertauliah sebelum meninggalkan dunia korporat untuk menyertai perkhidmatan kerajaan.

Dilahirkan di Petaling Jaya, Azlin, 47, memulakan kerjayanya dengan menyertai Tenaga Nasional Bhd setelah memperoleh Ijazah Sarjana Muda Perdagangan dari University of New South Wales di Sydney, Australia pada 1989.

Dalam tempoh lima tahun bersama syarikat utiliti negara, beliau menyandang beberapa jawatan pengurusan termasuk sebagai Ketua Bahagian Perhubungan Pelabur.

Kemudian, beliau menyertai Phileo Allied Securities sebagai penganalisis ekuiti selama setahun hingga 1996, sebelum berhijrah ke Caspian Research selama dua tahun dari 1996-1998 dan berkhidmat sebagai Penganalisis Kanan Ekuiti Nomura Advisory Services dari September 1998 hingga Mei 2004.

Tugas Azlin memerlukan beliau terlibat dalam bidang penyelidikan ekuiti, perniagaan dan tugas nasihat korporat ketika memberi khidmat kepada beberapa organisasi yang menganggotai Bursa Malaysia Securities Berhad.

Pada Mei 2004, beliau dilantik sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Avenue Securities Sdn Bhd yang bertanggungjawab bagi pembangunan perniagaan, perancangan strategik, pemasaran dan menasihati pasukan penyelidikan ekuiti untuk memantapkan produk penyelidikan serta profil klien institusi.

Selepas itu, kedudukan Azlin dalam dunia korporat melonjak lagi dengan menyandang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif/Pengarah Eksekutif Malaysian Technology Development Corporation Sdn Bhd, sebuah syarikat modal teroka di bawah Kumpulan Khazanah Nasional Berhad dari 2005 hingga Mei 2008.

Demi memenuhi hasratnya untuk berbakti secara langsung terhadap negara, Azlin menerima tawaran untuk menyandang jawatan sebagai Pengarah Bahagian Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri sebelum dilantik sebagai Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri berkuat kuasa 10 Mac 2014.

Beliau pernah dipilih sebagai ‘Penganalisis Penyelidikan Terbaik 2003′ oleh The Edge dan ketika beliau menganggotai pasukan pasukan penyelidikan di Avenue Securities, firma itu dipilih sebagai ‘Most Improved Local Research House’ dan ‘Second Best Local Research House’ oleh The Edge Weekly pada 2004.

Allahyarham Azlin meninggalkan isteri Datin Azlina Mahmad serta dua anak lelaki dan seorang anak perempuan.

Pada sidang akhbar Sabtu malam, Najib menyifatkan Azlin sebagai ‘Chief of Staff’ (Ketua Turus) di Pejabat Perdana Menteri dan memainkan peranan utama dalam menentukan pelbagai perkara penting dalam hal-ehwal pejabat itu.

“Secara peribadi, beliau telah bersetuju meninggalkan kerjaya bidang korporat untuk berkhidmat dengan kerajaan sebagai khidmatnya untuk negara.

“Beliau telah bekerja dengan penuh dedikasi, amanah dan disenangi semua pihak. Ketiadaan beliau adalah satu kehilangan besar buat saya,” kata Perdana Menteri.