Hotel dan Restoran Tak Boleh Kenakan Caj Servis

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menggesa pengguna supaya mengetahui hak mereka sebelum membuat pembelian sekiranya peniaga mengenakan caj servis sehingga 10 peratus.

Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Alias Ahmad berkata, jika pengguna berhadapan dengan situasi tersebut, mereka perlu melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa untuk mengelakkan berlakunya penipuan.

“Pengguna kena tahu haknya, dia perlu jadi pengguna bijak dan perlu suarakan pada masa ini.”

“Restoran dan hotel tidak dibenarkan mengenakan caj servis jika pihak majikan dan pekerja tiada perjanjian kolektif,” katanya pada sidang media mengenai Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), di Kompleks Kementerian Kewangan, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas aduan pengguna berkaitan pengenaan caj servis perkhidmatan 10 peratus yang meningkat kepada 111 aduan dan kekal pada kadar empat peratus sejak GST dilaksanakan pada 1 April lalu.

Dalam pada itu, katanya sehingga kini tiada akta khusus untuk memantau kutipan caj servis yang dikenakan di restoran dan hotel.

“Tiada badan kawalan selia isu servis caj dan pengguna atau peniaga yang menimbulkan persoalan itu kerana kerajaan mempunyai kekangan kerana tiada akta khusus,” ujarnya.

Sehubungan itu katanya, mulai hari ini semua restoran dan hotel dilarang mengenakan caj servis jika mereka tiada perjanjian kolektif tersebut.

Jelasnya lagi, jika peniaga melakukan pelanggaran arahan tersebut, pengguna perlu melaporkan segera kepada KPDNKK.

“Ia berkuatkuasa hari ini, kita akan siasat di bawah akta kawalan harga dan anti pencatutan atau perihal dagangan atau akta perlindungan pengguna.”

“Keputusan kementerian ini akan dilaksanakan sehingga satu polisi baru diperkenalkan oleh kerajaan,” katanya lagi.

Bagaimanapun katanya lagi, peniaga yang sudah mempunyai perjanjian kolektif itu boleh mengutip caj servis dengan syarat mereka mempamerkan premis caj itu di premis masing-masing.