Kerajaan Tanggung 98% Kos Perubatan Untuk Rakyat

Kerajaan menanggung 98 peratus kos perubatan untuk semua rakyat Malaysia yang mendapatkan rawatan kesihatan di hospital atau klinik kerajaan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya kerajaan juga akan terus berusaha memastikan kualiti perkhidmatan yang disediakan di hospital dan klinik kerajaan ditingkatkan dari semasa ke semasa.

“Kerajaan mengambil berat dan amat komited dalam memastikan kesihatan rakyat Malaysia terus terpelihara serta perkhidmatan kesihatan negara terus maju dan berkualiti, tetapi pada masa sama tidak membebankan dan boleh dinikmati rakyat teramai,” katanya menerusi catatan terbaharu bersempena sambutan Hari Kesihatan Sedunia di blognya NajibRazak.com.

Sambutan Hari Kesihatan Sedunia disambut pada 7 April setiap tahun merupakan kempen yang dianjurkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia, bertujuan meningkatkan kesedaran dan pemahaman masyarakat dunia mengenai isu berkaitan kesihatan.

Perdana Menteri berkata bersempena sambutan itu, beliau menyarankan agar semua rakyat terus mengamalkan budaya hidup sihat seperti beriadah, memakan makanan berkhasiat dan melakukan aktiviti kesihatan agar dapat menghindarkan diri daripada penyakit.

Jelasnya, statistik tahap obesiti di negara ini agak membimbangkan, namun beliau yakin sekiranya rakyat Malaysia semua memainkan peranan bersama dalam mengamalkan budaya hidup sihat, mereka mampu mencegah diri, bukan sahaja daripada obesiti, bahkan banyak penyakit berbahaya lain.