Khalid Ibrahim – RAKYAT SELANGOR TIDAK PERLU RETORIK DAN SANDIWARA POLITIK – Bahagian 1 (isu air)

Saya mengucapkan terima kasih kepada Dato’ Menteri Besar Selangor kerana memberi respon terhadap sesetengah isu yang saya bangkitkan meskipun jawapan beliau lebih kepada cubaan untuk memperlekehkan legasi saya selaku mantan Menteri Besar.

Apatah lagi isu yang sangat penting yakni penstrukturan semula industri air tidak disentuh sama sekali. Sesungguhnya, rakyat Selangor berhak mendapat penjelasan dan kepastian terutama tentang komitmen beliau dalam memuktamadkan segera penyusunan semula industri air pada kos keseluruhan tidak melebihi RM9.65 billion; langkah-langkah mengambilalih Splash, satu-satunya syarikat konsesi yang masih berdegil dan penamatan serta-merta Perjanjian Penswastaan berat sebelah dengan semua syarikat konsesi.

Kita semua, lebih-lebih lagi pemimpin, sepatutnya tahu ada perbezaan yang besar antara keberanian melulu dan kebijaksanaan terpimpin dalam membuat keputusan. Apa gunanya berani persis panglima perang sekiranya strategi dan teknik yang digunapakai bakal menyebabkan kita menang satu pertempuran tapi kalah di dalam peperangan. Ambillah iktibar dan pengajaran daripada kisah nasib malang Pak Kaduk yang menang bersorak, kampung tergadai akibat kedunguan dan kejahilan beliau. Kelayakan, kredibiliti dan integriti seorang pemimpin bukan diukur atas neraca keberanian tetapi lebih bersandarkan keupayaan dan kebijaksanaan hakiki.

Kenyataan penuh Khalid Ibrahim:
https://www.facebook.com/permalink.php?story_fbid=10153235143863901&id=38012338900