Khalid Ibrahim – RAKYAT SELANGOR TIDAK PERLU RETORIK DAN SANDIWARA POLITIK – Bahagian 2 (isu KIDEX)

Memandangkan Menteri Besar menjadikan isu KIDEX sebagai sandaran, sekiranya Dato’ Menteri Besar terlupa atau terlepas pandang, saya ingatkan bahawa Kerajaan Negeri terikat dengan Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan bidang kuasa dan prerogatif bagi Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan sama ada di bawah senarai persekutuan, negeri atau bersama. Jika diteliti Jadual Kesembilan tersebut, amat jelas bahawa projek KIDEX terletak di bawah bidang kuasa penuh Kerajaan Persekutuan memandangkan perkara-perkara berkaitan komunikasi dan pengangkutan serta kontrak Kerajaan Persekutuan termasuk dalam senarai persekutuan.

Hakikatnya, skop dan capaian bidang kuasa Kerajaan Persekutuan dalam hal-ehwal berkepentingan awam sangat meluas dan hampir mutlak. Dalam pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam, peranan Kerajaan Negeri tidak lebih daripada memberi nasihat dan tiada kuasa menolak projek Kerajaan Persekutuan. Malah, walaupun sebarang perkara berkaitan tanah di bawah senarai negeri, perancangan pembangunan bandar dan desa masih tertakluk di bawah senarai bersama. Meskipun KIDEX tidak termasuk dalam draf Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035 dan pelan rancangan tempatan Majlis Bandaraya Petaling Jaya yakni hujah Seksyen 18 (1) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 mungkin boleh dipertimbangkan, saya amat khuatir akan keterdedahan Kerajaan Negeri kepada implikasi perundangan dan kewangan akibat pengumuman pembatalan pada 16 Februari 2015 kerana saya difahamkan Kerajaan Persekutuan sedang meneliti semua aspek berkaitan bersama Jabatan Peguam Negara.

Sebenarnya, pengumuman pembatalan projek ini aneh dan diragui kesahihannya di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri kerana ia tidak terlibat langsung dalam perjanjian konsesi yang ditandatangani di antara syarikat konsesi dan Kerajaan Persekutuan pada 16 November 2013. Terdapat juga percanggahan hujah dalam alasan pembatalan di mana syarikat konsesi didakwa gagal memenuhi kesemua syarat yang ditetapkan dalam tempoh yang diberi sehingga 14 Februari 2015 sedangkan syarikat konsesi dan Kerajaan Persekutuan mendakwa sebaliknya. Berpandukan krisis KIDEX, kita tidak dapat menolak kemungkinan pelabur swasta akan berfikir berulang kali sebelum membuat keputusan melabur di Selangor khususnya dalam pembinaan infastruktur pengangkutan awam.

Saya kira perlu dimaklumkan kepada rakyat juga ketika saya mengetuai Majlis Tindakan Ekonomi Negeri (MTES), persetujuan secara prinsip atau kelulusan bersyarat yang diberikan pada 23 Februari 2012 sebenarnya tertakluk kepada empat (4) prasyarat yang wajib dipenuhi oleh syarikat konsesi dalam tempoh masa yang mencukupi sebelum kebenaran merancang boleh dikeluarkan:

(1) Hasil laporan penilaian impak lalu lintas (TIA), impak alam sekitar (EIA) dan impak sosial (SIA)

(2) Unjuran kewangan lengkap mengenai pulangan pelaburan modal oleh syarikat konsesi untuk menetapkan tempoh tol perlu dikenakan

(3) Unjuran margin keuntungan bakal dikaut

(4) Sesi “engagement” di antara syarikat konsesi, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan penduduk yang bakal terkesan, dimudahcara oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Setelah kepimpinan pentadbiran negeri bertukar, rakyat sepatutnya dimaklumkan bahawa barisan EXCO yang baharu hanya membuat keputusan berdasarkan ketetapan dan faktor pertimbangan yang saya gariskan dahulu selaku Menteri Besar. Memang mudah mengumumkan pembatalan, tidak kiralah sama ada pembatalan projek atau kelulusan pembangunan tetapi apakah solusi alternatif Kerajaan Negeri bagi menyelesaikan masalah dasar iaitu kesesakan lalu lintas teruk berdasarkan aduan rakyat di Lembah Kelang terutama di kawasan berkenaan? Sekali lagi saya tegaskan bahawa keupayaan mencadangkan penyelesaian alternatif yang boleh dilaksanakan pada kos yang setimpal dan impak negatif minima merupakan ujian sebenar kewibawaan, kaliber dan nilai teras seorang pemimpin.

Kenyataan penuh Khalid Ibrahim:
https://www.facebook.com/permalink.php?story_fbid=10153235143863901&id=38012338900