Khalid Ibrahim – RAKYAT SELANGOR TIDAK PERLU RETORIK DAN SANDIWARA POLITIK – Bahagian 3 (isu sistem tender)

Mengenai dasar perolehan Kerajaan Negeri, rakyat perlu diingatkan bahawa sistem tender terbuka melalui kaedah “cut-off” telah digunapakai oleh pentadbiran Barisan Nasional sebelum 2008 tetapi telah saya tamatkan kerana ianya terbukti tidak menitikberatkan prinsip kompetensi, ketelusan, kebertanggungjawaban dan integriti di samping membuka ruang kepada perbuatan rasuah dan salah guna kuasa.

Keberkesanan sistem tender terbuka berdasarkan prinsip “value for money” yang saya laksanakan sejak 2009 di mana kontrak Kerajaan Negeri dianugerahkan kepada sebut harga paling kompetitif jelas terbukti apabila Dato’ Menteri Besar sendiri mengumumkan minggu lepas di dalam Dewan Negeri Selangor bahawa Kerajaan Negeri mencapai penjimatan bernilai RM430.221 juta di antara 2011 dan 2014 yakni setara dengan purata tahunan sebanyak RM107.56 juta.

Logik akal manusia waras yang benar-benar ikhlas ingin melaksanakan prinsip-prinsip urus tadbir yang baik serta menentang gejala ketirisan, pembaziran dan amalan rasuah sudah pasti tidak akan sekali-kali bersetuju dengan apa jua justifikasi yang diberi oleh pentadbiran baharu untuk mewajarkan keputusan membatalkan satu kaedah yang terbukti berkesan di era pentadbiran saya. Lebih parah lagi, digantikan pula dengan kaedah yang telah digunapakai sebelum 2008 biarpun dijenamakan semula sebagai kaedah “cut-off” yang diubahsuai.

Jika kita teliti laporan akhbar dan aduan rakyat, pelbagai isu perkhidmatan awam yang disediakan PBT tidak diselesaikan pada hujung 2014 seperti yang Dato’ Menteri Besar janjikan malah semakin teruk – longgokan sampah-sarap bukan di tempat pembuangan masih berleluasa, sistem perparitan dan longkang masih tersumbat, semak-samun di taman perumahan masih kelihatan, jalan-jalan tidak bersapu masih kerap. Ini semua bukti kegagalan kaedah “modified cut-off” ini yang sebenarnya amat mencurigakan tetapi telah dimomokkan sebagai penyelesaian terbaik bagi semua masalah berkaitan PBT atau seumpamanya.

Hakikatnya, sistem tender terbuka yang mempunyai seribu macam kebaikan telah tercemar kerana kaedah “cut-off” sebegini yang membenarkan kontrak diberikan kepada pembida yang bukan terendah bakal membuka ruang kepada perbincangan tertutup (back-door negotiations) sekaligus terdedah kepada amalan rasuah serta salah guna kuasa, salah urus dana awam dan salah laku berkaitan dana awam yang lain. Malang sekali nasib rakyat Selangor kerana akhirnya, mereka yang rugi kerana terpaksa membayar lebih bagi hasil kerja atau perkhidmatan yang ala kadar dan tidak setimpal dengan dana awam yang dibelanjakan.

Sekiranya yang menjadi masalah adalah wujudnya kontraktor yang culas dalam pengendalian tugasan yang diberi atau gagal menyempurnakan projek dalam tempoh masa dan/atau mengikut spesifikasi yang ditetapkan, maka sepatutnya pentadbiran baharu berusaha mencari mekanisme inovatif lain untuk menangani masalah tersebut di samping menambahbaik sistem sedia ada yang terbukti memberi faedah besar kepada rakyat.

Nampaknya, memikirkan satu mekanisme lain yang memerlukan analisa terperinci dan kepakaran spesifik terlalu membebankan bagi Dato’ Menteri Besar dan para penasihat kanan beliau. Sebaliknya, tanpa rasa bersalah, beliau sewenang-wenangnya mengambil jalan pintas dan mudah dengan menggunapakai semula sistem lama yang hanya diberi sentuhan kosmetik.

Kenyataan penuh Khalid Ibrahim:
https://www.facebook.com/permalink.php?story_fbid=10153235143863901&id=38012338900