Khalid Ibrahim – RAKYAT SELANGOR TIDAK PERLU RETORIK DAN SANDIWARA POLITIK – Bahagian 4 (isu GST)

Hakikatnya, sangat mudah menjadi pemimpin oportunis dengan membuat kenyataan atau keputusan yang popular dan lunak didengar tanpa perlu memikirkan impak dalam segala segi dan gambaran sebenar situasi atau kemampuan hakiki memenuhi sebarang janji manis. Saya hanya mampu tersenyum apabila melihat di dada akhbar dan portal baru-baru ini kononnya negeri Selangor menentang GST sedangkan kita tahu hakikatnya, semua PBT telah diarahkan memaklumkan rakyat di semua peringkat bahawa GST akan dikuatkuasakan mulai 1 April 2015.

Rakyat perlu sedar daripada terus dibuai mimpi indah bahawa kenyataan tersebut yang dibuat oleh Dato’ Menteri Besar di dalam Dewan Negeri Selangor pada minggu lepas tidak akan merubah apa-apa kerana hakikatnya, Selangor tidak akan sama sekali dikecualikan daripada melaksanakan GST!

Saya yakin kayu ukur sama ada seorang pemimpin itu semata-mata seorang politikus profesional atau seorang negarawan terbilang terletak pada ketulusan niat memberi yang terbaik kepada rakyat yang akan terserlah melalui keutuhan perjuangan, kesungguhan usaha dan pencapaian sebenar sepanjang hayat.

Namun, berdasarkan apa yang kita alami dan saksikan sendiri sejak hujung bulan September 2014, jelas bahawa Dato’ Menteri Besar perlu berusaha lebih gigih untuk layak digelar negarawan kerana masih bersendikan retorik dan sandiwara politik. Kalau beginilah gaya dan pendekatan pentadbiran baharu, maka saya ulangi gesaan agar Dato’ Menteri Besar segera berundur untuk diserahkan jawatan kepada seseorang yang benar-benar layak demi kemaslahatan rakyat.

Kenyataan penuh Khalid Ibrahim:
https://www.facebook.com/permalink.php?story_fbid=10153235143863901&id=38012338900