Khalid Samad – Kumpulan Yang Menggelarkan Diri Mereka Pro Ulamak Dalam Pas Lebih Sesuai Dipanggil “GENG JUHALA”

Perang dingin dalam PAS semakin terserlah menjelang muktamar dan pemilihan parti itu yang dijadual diadakan pada Jun ini.

Selepas digelar parasit dalam PAS oleh kumpulan pro ulamak, salah seorang pemimpin yang didakwa liberal telah menyerang balik kumpulan itu.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, kumpulan yang menggelarkan diri mereka pro ulamak dalam PAS lebih sesuai dipanggil sebagai “Geng Juhala”.

Katanya, gelaran itu kerana sikap jahil mereka yang melabelkan pihak lain dalam parti itu sebagai parasit dalam PAS.

“Kononnya mereka lakukan demi menyokong calon ‘ulamak’ dalam muktamar. Kalau benar, maka saya harap calon ulamak ini bukan jenis yang ‘bisu’, tidak menegur kejahilan dan kejahatan penyokong,” tulis Khalid dalam blognya.

Beliau memberi respon terhadap sebuah buku yang menyenaraikan lapan pemimpin termasuk dirinya sebagai parasit dalam PAS yang dipercayai ditulis oleh penyokong pro ulamak.

Khalid berkata, selain digelar parasit dalam PAS, kumpulan lapan pemimpin itu sebelum ini telah dilabel dengan pelbagai gelaran seperti ‘Jebon’, ‘Anwarinas’, ‘anti-ulama’, ‘anti-hudud’, ‘liberal’, dan ‘sekular’.

“Dan apa sahaja (gelaran) yang mungkin digunakan untuk menimbulkan kebencian terhadap kumpulan pemimpin ini. Samada gelaran ini betul atau pun tidak, benar ataupun fitnah, tidak langsung diendahkan. Yang penting, berjaya ditanam kebencian terhadap mereka ini,” tulis Khalid dalam blognya,

Katanya, gelaran parasit itu asalnya digunakan oleh Datuk Dr Hassan Ali untuk melabelkan kumpulan yang menentang rancangannya untuk membentuk kerajaan bersama UMNO/Barisan Nasional pada 2008 dengan dirinya dilantik sebagai Menteri Besar Selangor.

Dia berkata, mungkin juga pihak yang menggunakan gelaran parasit itu merupakan ‘tukang tiru’ Zulkifli Nordin yang mencipta gelaran Anwarinas dalam PAS.

“Adakah mustahil mereka ditaja? Oleh yang inginkan PAS dan PR berpecah untuk UMNO kekal memerintah,” katanya yang sangsi mana datangnya wang untuk mencetak buku itu.