Kritik Kerajaan Bukan Lagi Kesalahan di dalam Pindaan Akta Hasutan

Perbuatan menghasut sehingga mendatangkan kebencian, penghinaan atau membangkitkan ketidakpuasan hati terhadap kerajaan tidak akan menjadi kesalahan di bawah Akta Hasutan apabila pindaan ke atas akta itu diluluskan.

Perkara itu antara yang dicadangkan dalam Rang Undang-Undang Hasutan (Pindaan) 2015 yang dibentangkan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.

Pindaan itu selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadi lebih terbuka dan dengan itu membolehkan orang awam bebas untuk memberikan maklum balas atau kritikan terhadap kerajaan agar dapat mewujudkan suatu pentadbiran yang telus dan bertanggungjawab di Malaysia.

Rang undang-undang itu juga bertujuan memotong perenggan 3(1)(c) akta sama untuk menjadikan perbuatan mengembangkan kebencian atau penghinaan atau membangkitkan ketidakpuasan hati terhadap pentadbiran keadilan di Malaysia juga tidak lagi dianggap sebagai perbuatan menghasut, dan dengan itu tidak akan ditangani sebagai suatu kesalahan di bawah akta itu kelak.

Bagaimanapun, bagi melindungi kesucian agama yang dianuti masyarakat berbilang kaum di negara ini, kerajaan mencadangkan mana-mana individu yang mengembangkan perasaan jahat, permusuhan atau kebencian antara mana-mana orang atau kumpulan atas alasan agama, dianggap melakukan kesalahan di bawah akta itu.

Bagi mengelak kekeliruan, berhubung dengan agama Islam, agama merujuk kepada Hukum Syarak sebagaimana yang termaktub di bawah mana-mana undang-undang bertulis dan tidaklah termasuk apa-apa ajaran sesat.

Pindaan juga bertujuan meminda subseksyen 3(3) akta itu untuk meluaskan pemakaian peruntukan itu untuk merangkumi penerbitan secara tidak langsung bahan menghasut.

Selain itu, pindaan turut mencadangkan hukuman lebih berat dikenakan bagi individu yang melakukan kesalahan di bawah akta itu, apabila diwartakan kelak.

Pindaan kepada subseksyen 4(1) bertujuan menambah hukuman penjara daripada tiga tahun dalam akta asal kepada minimum tiga tahun dan maksimum tujuh tahun serta meniadakan hukuman denda.

Sementara subseksyen baharu 4(1A) dimasukkan untuk mengadakan peruntukan bagi hukuman minimum penjara lima tahun dan maksimum 20 tahun bagi kesalahan di bawah akta itu berdasarkan keseriusan kesalahan.

Turut dimasukkan seksyen baharu 5A tentang peruntukan tidak membenarkan seseorang yang didakwa melakukan kesalahan di bawah akta itu diikat jamin, dan Seksyen 5B untuk memberi mahkamah kuasa bagi memerintahkan individu yang didakwa menyerahkan dokumen perjalanannya.