MOF Mahu The Edge Mohon Maaf Isu 1MDB

Kementerian Kewangan mahu The Edge memohon maaf secara terbuka kerana menerbitkan laporan yang silap berhubung hasrat kerajaan untuk menerbitkan sukuk bagi membayar hutang 1Malaysia Development Bhd. (1MDB).

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah berkata, laporan The Edge yang memetik agensi berita Reuters itu adalah salah selain mewujudkan salah faham dan kekeliruan dalam pasaran.

Beliau menegaskan cadangan terbitan sukuk itu tiada kaitan dengan dakwaan untuk membayar balik hutang 1Malaysia Development Bhd (1MBD) seperti yang dilaporkan.

“Tiada kaitan langsung dengan hutang 1MDB kerana kita nak kumpul sukuk ini untuk bayar balik sukuk yang kita telah terbitkan,” katanya pada sidang media di sini, Jumaat.

Mohd Irwan Serigar berkata kerajaan telah melantik CIMB, HSBC dan Standard Chartered untuk mengatur pertemuan dengan ‘pelabur pendapatan tetap’ di Asia, Asia Tengah, Eropah dan Amerika Syarikat bermula Isnin ini bagi menimbang penerbitan sukuk berkenaan.

“Jika keadaan pasaran sesuai, maka kerajaan mungkin akan membuat penawaran dalam sijil draf denominasi dolar AS dan kita pergi ke pasaran untuk tebus Sukuk yang telah kita terbitkan pada tahun 2010 iaitu sebanyak US$1.25 bilion yang matang pada Jun 2015,” katanya.

Mohd. Irwan Serigar berkata, permohonan maaf secara terbuka masih perlu dilakukan walaupun The Edge sudah menarik balik laporan itu.

http://www.themalaymailonline.com/malaysia/article/apologise-over-errant-1mdb-article-finance-ministry-tells-the-edge