Najib Akan Jawab Kritikan Dr. Mahathir

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan menjawab segala kritikan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap pentadbirannya,
kata Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) Tan Sri Shahrir Samad.

Shahrir berkata, kritikan dilemparkan perdana menteri yang paling lama berkhidmat itu kini lebih bersifat peribadi dan pihaknya mencadangkan Najib segera menjawab kritikan Dr Mahathir.

“Najib akan jawab.. kami juga nasihatkan, sudah sampai masanya beliau berikan jawapan,” kata Shahrir pada sidang media BNBBC di Parlimen.

Ahli Parlimen Johor Baru itu berkata, kritikan Dr Mahathir kini dilihat lebih terbuka dan bersifat peribadi terhadap Najib.

“Tapi kali ini ia masuk peringkat secara terbuka, kalau kata Dr Mahathir sayang parti, kami pun sayang parti, tapi kami rasa ini bukan caranya,” kata Shahrir.

Dr Mahathir minggu lepas di laman blog chedet.cc bukan saja mengkritik secara terbuka, malah kritikannya terhadap Najib dilihat lebih keras apabila berkata, Umno dan Barisan Nasional (BN) akan tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sekiranya Najib masih mengetuai parti Melayu itu untuk menghadapi pilihan raya.

“Isu ini kadang-kadang kita tidak boleh buat tidak tahu dan saya percaya Najib akan beri jawapan kepada tuduhan ini,” kata Shahrir.

Hadir sama pada sidang media itu ialah ahli BNBBC termasuk Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Mokhtar Radin, Ahli Parlimen Lenggong Datuk Shamsul Anuar Nasarah, Ahli Parlimen Parit Sulong Datuk Noraini Ahmad dan Ahli Parlimen Baling Datuk Azeez Rahim.