Najib Sifatkan Pemergian Allahyarham Jamaluddin Satu Kehilangan Besar

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan pemergian Tan Sri Jamaluddin Jarjis memberi kesan yang amat besar buat dirinya.

Najib yang kelihatan sebak berkata, pemergian sahabatnya itu satu kehilangan yang amat besar buat diri dan keluarganya memandangkan Jamaluddin adalah kenalan sejak zaman universiti lagi selain amat rapat dari segi sejarah perjuangan dan kerjaya politik.

“Tragedi ini membawa kehilangan dua orang yang begitu besar sumbangannya kepada kerajaan, parti dan negara.”

“Saya anggap Tan Sri Jamaluddin Jarjis seorang yang berkebolehan tinggi, banyak jasanya kepada kerajaan, parti dan negara.”

“Ramai kenalannya di dalam dan luar negara,” katanya katanya kepada pemberita selepas melawat lokasi nahas di Kampung Sungai Pening, Semenyih di sini malam tadi.

Beliau menjelaskan, Jamaluddin yang pernah bertugas sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat turut berjaya mengukuhkan hubungan diplomatik kedua-dua buah negara.

Malah katanya, Jamaluddin tetap menunjukkan rasa komited dalam membantu beliau memberikan nasihat dan pandangan walaupun tidak lagi memegang jawatan tersebut.

“Jamaluddin telah memainkan peranan penting dalam mengeratkan hubungan Malaysia dan Amerika Syarikat,” kata Najib sambil menambah kata

“Oleh itu kehilangan beliau adalah satu tragedi besar buat saya dan saya amat sedih atas apa yang berlaku,” ujarnya.

Bercakap tentang Azlin yang disifatkan sebagai ‘Chief of Staff’ di Pejabat Perdana Menteri, Najib berkata, pegawainya itu berperanan menentukan pelbagai perkara penting dalam hal-ehwal pejabat itu.

Menurut Perdana Menteri, Azlin yang juga rapat dengan beliau dan Allahyarham sanggup meninggalkan dunia korporat untuk menyertai kerajaan. Allahyarham juga, katanya, seorang yang beramanah dan disenangi semua pihak.

“Beliau telah bekerja dengan penuh dedikasi, amanah dan disenangi semua pihak, ketiadaan beliau satu kehilangan besar bagi saya,” tambahnya.

“Saya harap seluruh keluarga mangsa dapat bersabar dan berdoa agar roh mereka dicucuri rahmat,” kata Najib. Azlin merupakan Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri.

Najib turut berharap siasatan rapi punca nahas itu dilakukan sepenuhnya.

“Kita nak tahu apa sebenarnya punca kejadian. Harap dapat tahu puncanya secepat mungkin,” katanya.