Pas Nekad Sokong Akta POTA

PAS menyambut baik dan menyokong usaha kerajaan untuk menangani keganasan menerusi Rang Undang-Undang Langkah-Langkah Khas Menentang Keganasan di Luar Negara 2015 yang diluluskan di Dewan Rakyat Selasa lepas, kata Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata meskipun terdapat beberapa perkara teknikal yang parti tidak bersependapat dengan kerajaan, namun PAS tidak menafikan akan keperluan undang-undang berkenaan bagi mempertahankan kedaulatan dan maruah negara.

“Kami bersatu dalam menentang keganasan, kami tidak mahu keganasan diimport ke negara kita … kami mengganggap apa yang dicetuskan (keganasan) di negara lain tidak sesuai dengan ajaran Islam.

“Kami tidak nafikan perlunya undang-undang itu dan telah dibahas dengan panjang lebar di Parlimen (Dewan Rakyat). Ini tanggungjawab bersama,” katanya pada sidang media di Rusila di Marang hari ini.