PAS Permatang Pauh Bangkang Jika Wan Azizah Atau Ahli Keluarga Dicalonkan

PAS Permatang Pauh memberi amaran kepada PKR supaya tidak mencalonkan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail atau ahli keluarganya yang lain pada pilihan raya kecil (PRK) bulan depan.

PKR turut diingatkan supaya memastikan penceramah mereka pada kempen ceramah parti itu tidak menyentuh isu hudud.

Ketua Penerangan PAS Permatang Pauh, Jamsari Samad berkata, dua perkara itu merupakan sesuatu yang tidak boleh dilakukan berdasarkan perlembagaan.

“Ini adalah kesimpulan kami berdasarkan sentimen akar umbi. Kita tahu bahawa memilih calon adalah pregogatif PKR, tetapi secara umumnya rakyat di sini tidak mahu Dr Wan Azizah atau mana-mana ahli keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding.

“Jika PKR tidak mahu membuat kecoh di sini, ia juga perlu memberitahu kepada penceramah supaya tidak membincangkan isu hudud kerana ia sesuatu yang suci bagi orang di sini,” katanya pada Selasa.

“Adalah sukar untuk menentukan sama ada Wan Azizah akan kembali sekiranya PKR mahu mencalonkannya sekali lagi,” kata Jamsari.