PKR PERTAHAN PANDANGAN ADUN Hulu Klang, Saari Sungib yang meminta Pakatan Rakyat Menyingkirkan PAS jika perlu

PKR hari ini mempertahankan pandangan ADUN Hulu Klang, Saari Sungib semalam, yang meminta Pakatan Rakyat menyingkirkan PAS jika perlu.

Ketua Penerangan PKR, Syed Ibrahim Syed Noh sebaliknya berkata kenyataan Saari itu mungkin disalahtafsir oleh pemberita.

“Pertamanya saya rasa kenyataan (Saari) itu diputarbelitkan sedikit. Pertamanya saya rasa dia tidak bermaksud hendak menyingkirkan, dia sebut sekiranya.

“Sekiranya ada kajian untuk melihat dari segi kekuatan, dari segi keberjayaan PAS untuk sama terlibat dalam keberjayaan, terlibat sama dalam perubahan.

“Sebab itu dari segi kejayaan sudah dibuat dan menunjukkan bahawa PAS tidak mampu atau pun tidak akan berjaya dalam usul mereka membuat usul mereka dalam politik Negara.

Maka dengan itu elok bersama dengan pakatan rakyat. Tetapi disebabkan kenyataan itu seolah-olah di tengah-tengah, jadi nampak YB Saari Sungib mengatakan seolah-olah mahu menyingkirkan PAS,” katanya selepas sidang medianya di Permatang Pauh, pagi tadi.

Saari ketika hadir pada konvensyen kali pertama Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) di Shah Alam pada Ahad berkata Pakatan Rakyat perlu menyingkirkan PAS jika kajian-kajian bebas mendapati parti tersebut tidak lagi sesuai bersama gagasan itu.

Kajian itu perlu kata Saari berikutan pergolakan dalaman PAS kini semakin membimbangkan dan dikhuatiri akan mempengaruhi keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Syed Ibrahim kemudiannya berkata saranan Saari agar diadakan kajian untuk melihat samada penyokong Pakatan Rakyat masih mahukan PAS bersama gagasan itu, adalah munasabah.

Selepas melihat hasil kajian itu, PAS boleh menilai dan membuat keputusan untuk terus bersama Pakatan Rakyat atau tidak.

“Saya rasa tidak timbul isu itu, saya faham dari segi pendapat YB Saari Sungib, dia mempunyai motif yang sangat besar, maknanya bagi beliau untuk pastikan adanya kesatuan dan kekuatan pakatan rakyat untuk menumbangkan UMNO BN.

“Tetapi satu kajian perlu dibuat sekiranya PAS tidak benar-benar mahu dalam pakatan rakyat, jika kajian itu benar, mereka (PAS) boleh buat keputusan, bukan maknanya apabila ada dicadangkan, maka terus membuat satu keputusan, “ katanya.

PAS sebelum ini berkali-kali menyatakan komitmennya untuk terus bertahaluf siyasi dengan Pakatan Rakyat.

Malah PAS juga kerap kali menegaskan DAP yang perlu keluar daripada Pakatan Rakyat jika tidak selesa dengan perbezaan ideologi parti masing-masing.

Ini kerana ketiga-tiga parti (PAS, DAP dan PKR) sebelum ini ‘bersetuju untuk tidak bersetuju’ dalam beberapa isu, termasuklah hudud.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin enggan mengulas lanjut berhubung tindakan Dewan Pemuda Pas (DPP) negeri mempertikai tindakan PKR menggunakan wajah Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bersama Lim Guan Eng dalam poster gergasi kempen di PRK Permatang Pauh.

“Saya tidak pernah baca kenyataan tersebut tentang, jadi saya akan tengok nanti isu semula, saya tidak tahu apa-apa buat masa ini,” katanya ringkas.

Isu poster Permatang Pauh dibangkitkan oleh Ketua DPP negeri, Mohd. Yusni Mat Piah semalam yang mempersoalkan keikhlasan DAP dalam menjalinkan hubungan dengan PAS.

Ini kerana Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sebelum ini mengumumkan parti dominasi Cina itu mahu memutuskan hubungan dengan Hadi kerana Ahli Parlimen Marang itu dituduh tidak jujur dan tidak amanah kerana membelakangkan PAkatan Rakyat bersabit isu hudud.

http://antarapos.com/bm/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7Wma5llaQ=%3D