PKR Tidak Akan Tarik Balik Kenyataan Berkaitan HUDUD

PKR tidak bercadang menarik balik kenyataannya terhadap Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung isu Hudud, walaupun PAS Permatang Pauh meletakkan syarat itu untuk bekerjasama pada kempen pilihan raya kecil kerusi Parlimen itu.

Timbalan Presiden PKR Azmin Ali berkata beliau sudah banyak kali mengadakan perjumpaan dengan pemimpin PAS dan mereka komited membantu jentera PKR pada pilihan raya kecil itu.

“Tidak timbul soal tarik balik (kenyataan) di sini kerana Yang Dipertua (PAS) kawasan Permatang Pauh, Omar Hassan, hadir sendiri untuk pelancaran jentera PKR,” katanya kepada pemberita selepas program minum petang bersama-sama Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di sini, hari Ahad.

Beliau ditanya mengenai sokongan PAS dan laporan bahawa parti itu tidak akan membantu kempen PKR pada pilihan raya kecil di Permatang Pauh jika PKR tidak menarik balik kenyataan terhadap Abdul Hadi berhubung isu Hudud.

PAS Permatang Pauh pada sidang berita selepas mesyuarat agung tahunan kawasan itu hari ini, turut memberi kata dua kepada PKR supaya menarik balik kenyataan tidak menyokong rang undang-undang persendirian berkaitan Hudud jika mahu terus mendapatkan sokongan pada pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh.

Omar berkata PAS Permatang Pauh memutuskan untuk memberi tempoh sehingga sebelum hari penamaan calon pada 25 April ini kepada PKR untuk berbuat demikian serta menuntut rakan sekutunya itu memohon maaf secara terbuka.

Azmin berkata beliau bersama-sama Wan Azizah akan cuba mendapatkan pengesahan mengenai keputusan PAS Permatang Pauh itu dengan mengadakan perjumpaan bersama-sama pemimpin PAS negeri.