Polis Temui Sirul Tiada Petunjuk Baru Untuk Teruskan Kes

Mungkin Ketua Polis Negara boleh mengkongsikan maklumat siasatan PDRM dengan Tun Mahathir?

Pihak polis telah menjalankan siasatan terhadap semua dakwaan baharu yang dibangkitkan oleh bekas anggota Unit Tindakan Khas, Sirul Azhar Umar dan merumuskan tidak mempunyai apa-apa asas untuk meneruskan siasatan, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Beliau mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu tulisan di blognya yang mahu kenyataan Sirul sebelum ini bahawa beliau mengikut arahan untuk melakukan pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu, disiasat.

Sirul juga berkata pembunuh sebenar Altantuya masih bebas.

Khalid memaklumkan pihak polis telah mengadakan pertemuan dengan Sirul yang berada dalam tahanan pihak berkuasa Australia untuk diambil keterangan berhubung semua dakwaan yang dibuatnya itu.

“Sebenarnya kami telah pun menjalankan siasatan terhadap apa jua kenyataan yang dibangkitkan Sirul Azhar.. mungkin, dan sudah tentu Tun (Dr Mahathir) tidak tahu apa tindakan dan siasatan yang kami jalankan.

“Semua dakwaan termasuk yang baharu, telah kami jalankan siasatan dan selepas meneliti hasil siasatan, kami berpendapat tidak ada apa-apa perlu kami buat untuk meneruskan siasatan,” katanya.

Beliau turut menambah, perkara yang dibangkitkan oleh Sirul itu telah meliputi perkara yang diketahui polis sebelum ini.