“Saya Pergi ke AS Selepas Mendapat Kelulusan Daripada Speaker, Bagaimana Pula Dengan Guan Eng?” – KOAY TENG HAI

‘Persengketaan’ antara Ahli Jawatankuasa Pusat DAP Pulau Pinang, Koay Teng Hai dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng timbul semula berikutan isu ponteng.

Keadaan itu timbul selepas Ketua Whip DAP, Anthony Loke tidak mahu Teng Hai yang ponteng sesi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 2012 disamakan dengan Guan Eng yang ponteng semasa sidang Dewan Rakyat.

Guan Eng tiba-tiba dilanda kontroversi apabila tidak hadir undi untuk kelulusan Akta Pencegahan Keganasan (POTA) di Parlimen baru-baru ini dan kejadian itu dikaitkan dengan Teng Hai yang tidak hadir DUN Pulau Pinang semasa undi kelulusan Undang-undang Anti Lompat Parti pada 2012.

Teng Hai yang tidak hadir kerana menghadiri lawatan belajar Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat telah digantung keahlian DAP selama enam bulan (kemudian dipendek ke sebulan).

“Saya pergi ke Amerika Syarikat selepas mendapat kelulusan daripada Speaker. Bagaimana pula dengan Guan Eng?” kata Teng Hai kepada China Press.

Mengulas tentang Guan Eng yang tidak hadir semasa pembentangan POTA, Teng Hai berkata, Ketua Menteri Pulau Pinang itu perlu berterus terang.

“Rakyat cuma mahu tahu apa yang beliau lakukan di Australia (semasa pembentangan POTA), berterus-teranglah,” katanya.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus itu turut mengulangi perasaan kecewa terhadap sesetengah pemimpin DAP dan beliau tidak segan-silu untuk menamakan Guan Eng sebagai salah seorang daripadanya.

“Saya tidak akan kecewa dengan DAP, tetapi kecewa dengan sesetengah pemimpin dalam DAP.

“Antaranya ialah Guan Eng. Kalau isu hukum hudud sudah muncul, maka beliau harus berdepan dengan isu ini dan bukannya berkata let it pass first (biar diluluskan dahulu),” katanya.

Guan Eng sebelum ini dilaporkan menyatakan “let it pass first” apabila diminta mengulas mengenai hukum hudud yang mencetuskan kemelut dalam hubungan parti-parti pembangkang.