Soal Jawab Khas Bersama Perdana Menteri

Pelbagai persoalan dan kritikan yang diketengahkan kebelakangan ini berhubung pentadbiran negara yang diterajui Datuk Seri Najib Tun Razak bakal dijelaskan pada Khamis malam.

Orang ramai dapat mengikuti perincian mengenainya menerusi program Soal Jawab Khas Bersama Perdana Menteri pukul 10 malam ini.

Menerusi rancangan terbitan TV3 yang turut disiarkan saluran televisyen rasmi negara, Perdana Menteri akan menjawab pelbagai isu semasa berkaitan politik dan ekonomi.

Rancangan bersiaran selama sejam itu akan dikendalikan moderator, Hamdan Ahammu.

Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan lantang mendesak supaya Najib menjawab pelbagai persoalan termasuk kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu, kontroversi 1Malaysia Development Berhad, selain pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia.

Malahan, beliau juga secara terbuka menjangkakan Barisan Nasional (BN) akan kalah pada pilihan raya umum akan datang jika masih diterajui Najib.

Bagaimanapun, kepimpinan Umno dan BN termasuk Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tampil mempertahankan pentadbiran sekarang.

Kepimpinan parti kerajaan juga mahu Dr Mahathir memberi peluang untuk negara ditadbir mengikut cara Najib.