Soal Jawab Najib Razak Edisi Khas – Bahagian 1 : Kritikan Kepimpinan

SOALAN: Kita dapati Datuk Seri, kerajaan membuat penilaian semula dari segi perkembangan ekonomi negara akibat tekanan-tekanan yang kita hadapi secara global. Dari segi ekonomi, bagaimana Datuk Seri melihat usaha-usaha yang dijalankan setakat ini dalam memantapkan ekonomi negara ke tahap yang lebih tinggi?

PM NAJIB: Memang penilaian semula itu sangat kena pada masa berikutan kejatuhan harga minyak yang agak begitu drastik, merudum jatuh hingga ke paras separuh daripada masa-masa sebelum ini. Sudah tentu mana-mana negara pengeluar minyak terpaksa membuat penyesuaian/adjustment kepada kedudukan fiskal negara, supaya langkah-langkah yang lebih proaktif kita dapat menjamin bahawa fundamental ekonomi negara kita masih kukuh.

Ini yang nak saya tekankan. Meskipun harga minyak jatuh tetapi fundamental ekonomi negara kita tetap utuh dan kita masih boleh mencapai kadar pertumbuhan yang sederhana tinggi.

Kita masih boleh menarik pelaburan, kita masih boleh melaksanakan pembaharuan transformasi negara dan kita boleh terus memastikan rakyat Malaysia terbela.

SOALAN: Kita dapati banyak pihak yang menyambut baik usaha-usaha yang dibuat kerajaan dari segi memantapkan ekonomi negara. Dalam pada itu, Datuk Seri, ada pihak-pihak tertentu yang nampaknya tidak berpuas hati dengan cara pentadbiran Datuk Seri sendiri sebagai Perdana Menteri.

Saya ingin khususkan kepada kritikan-kritikan yang dibuat sejak akhir-akhir ini oleh mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap kepimpinan Datuk Seri sendiri. Bagaimana Datuk Seri melihat kritikan yang datang ini?

PM NAJIB: Saya tetap hormati Tun Dr Mahathir seperti mana saya hormati rakyat Malaysia. Saya terbuka sekiranya mana-mana pihak yang mengkritik kepimpinan saya, pentadbiran saya.

Saya harap kritikan itu dibuat dengan penuh berhemah dan cara bertanggungjawab. Saya meneliti, saya menimbang kewajaran setiap kritikan itu. Tetapi saya perlu tegaskan pada kesudahannya, saya perlu membuat keputusan sebagai Perdana Menteri dan sebagai Presiden UMNO, dan saya bertanggungjawab kepada rakyat Malaysia dan kepada parti. Itu saya nak tegaskan.

Apapun pendapat individu, pada kesudahannya, saya akan bertanggungjawab kepada rakyat dan kepada parti.