Soal Jawab Najib Razak Edisi Khas – Bahagian 2 : GST

SOALAN: Kita ambil contoh misal kata pengenalan GST pada 1 April. Ada pihak yang beranggapan bahawa dari segi timing GST diperkenal itu kurang sesuai di kala rakyat merasakan kesan ekonomi dunia yang memberi kesan kepada Malaysia itu juga menghimpit mereka. Apa komen Datuk Seri?

PM NAJIB: Sebenarnya, tiada masa yang dikatakan sesuai untuk memperkenalkan GST. Kalau kita lihat pada keseluruhannya, antara faktor yang boleh dikatakan menyebelahi langkah kerajaan untuk memperkenalkan GST; harga minyak dah jatuh.

Bila harga minyak jatuh, maknanya harga petrol dan diesel lebih rendah dari masa-masa sebelumnya. Itu satu…rakyat mendapat faedah daripada penurunan harga minyak dunia. Yang kedua, kerajaan telah membuat persediaan yang begitu lama.

Soal GST ini sejak tahun 80-an lagi. Bukan perkara baharu. Jadi kita laksanakan daripada makronya sesuai masanya sebab kerajaan perlu kepada punca kewangan tambahan sebab hasil dividen daripada Petronas akan berkurangan kerana harga minyak dah jatuh.

Jadi amat sesuai kita perkenal sekarang dan kita juga telah membuat satu bentuk di mana banyak produk perkhidmatan keperluan rakyat yang di-zero rated atau dikecualikan. Lebih daripada 4,000. Tak pernah mana-mana negara yang membuat cara sedemikian dan ini bukan cukai tambahan.

Ini penggantian kepada cukai perkhidmatan dan jualan (SST) yang selain daripada itu, kita tambah BR1M, Bantuan Rakyat 1Malaysia, kita bagi pengurangan cukai peribadi antara satu hingga tiga per cent. Dan kita kurangkan juga cukai korporat, juga satu per cent. Jadi pakej, jika kita lihat keseluruhannya, adalah pakej yang tidak membebankan rakyat.

Kerana kita nak pastikan pelaksanaannya, ini pokok, pelaksanaannya dari segi penguatkuasaan. Kalau ada pihak komplen, dia bukan pengenalan GST sebenarnya, tetapi pihak peniaga yang mengambil kesempatan. Peniaga-peniaga yang tidak bertanggungjawab, bukan semua.

Ada yang telah mengiklankan harga tak naik, ada yang kata harga akan dikurangkan. Misalnya, harga kereta dikurangkan. Ada rangkaian supermarket seperti Mydin yang kata kekalkan harga, ada yang kedai kain cakap mereka akan absorb GST dan sebagainya.

Jadi (apa yang) kita nak pihak penguatkuasaan ambil tindakan ialah peniaga-peniaga yang tidak bertanggungjawab.

SOALAN: Kita faham bahawa barangan harian yang menjadi keutamaan rakyat Malaysia dikecualikan GST. Tapi ada juga dalam kalangan rakyat yang membangkitkan soal apabila mereka pergi kedai makan, makanan orang Malaysia seperti nasi lemak atau roti canai dengan teh tarik juga dikenakan GST.

Kalau nak beli kicap tomato, sos Maggi misalnya pun dikenakan GST. Jadi mereka bertanya bagaimana GST ini tidak membebankan mereka. Keluar hari-hari makan di kedai kopi pun dikenakan GST.

PM NAJIB: Kalau pihak itu tidak sepatutnya kenakan GST, tolong lapor kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (Koperasi dan Kepenggunaan). Di sini letaknya kuasa pengguna. Kita mesti tahu kita ada kuasa.

Kuasa pertama kita boleh pilih mana-mana kedai yang kita nak beli barangan ataupun kedai-kedai makan, kita boleh pilih. Jadi kedai-kedai yang tak bertanggungjawab yang sengaja menaikkan harga, lepas itu menyalahkan pihak kerajaan.

Kita janganlah pergi ke kedai itu. Banyak kedai lain. Kedai alternatif lain. Yang kedua kita mesti lapor kepada kementerian dan pihak kastam. Jadi gunakan kuasa sebagai pengguna. Lambat laun, mereka yang mengeksploitasikan keadaan ini, mereka akan kehilangan pembeli.