Soal Jawab Najib Razak Edisi Khas – Bahagian 4 : Kes Altantuya

SOALAN: Berbalik kepada kritikan Tun Mahathir, beliau ada sebut kes Altantuya Shaariibuu. Kita semua sedia akur bahawa mahkamah telah buat keputusan kes ini…sudahpun berlalu. Tapi ada pula timbul kritikan daripada Tun Mahathir yang kata siapa yang beri arahan kepada pegawai polis terbabit untuk membunuh Altantuya. Terasa perkara ini pelik sebab kes itu sudah berlalu. Apakah Datuk Seri ada terbabit dalam perkara ini?

PM NAJIB: Ini cerita 2008…dah lama dah. Sebenarnya saya dah lafazkan sumpah Wallahi Wabillahi Watallahi, tiga kali termasuk di sebuah masjid di Permatang Pauh pada 2008…bahawa saya tidak mengenali Altantuya dan saya tidak terlibat sama sekali sama ada secara langsung atau tidak langsung. Dan pihak polis telah jalankan siasatan. Dan pada masa itu Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) sebagai Perdana Menteri dah laporkan, dan Ketua Polis Negara dah buat kenyataan bahawa saya tak terlibat.

Dan tak ada bukti sama sekali yang timbul bahawa saya kenal Altantuya. Tak ada langsung…tak ada gambar, tak ada tulisan, tak ada saksi dan sebagainya. Mahkamah telah tentukan prosesnya sampai ke Federal Court. Apakah kita nak persoal integriti mahkamah kita yang kita pertahankan sebelum ini?

SOALAN: Difahamkan Datuk Seri sebenarnya sebelum ini pernah bertemu Tun Mahathir sendiri mengenai beberapa isu. Adakah beliau bertanyakan Datuk Seri kes Altantuya ini?

PM NAJIB: Tak secara langsung tapi kita pernah sekali berbincang. Dalam perbincangan itu saya lihat beliau tak persoalkan penglibatan saya dalam (kes) Altantuya. Dan saya anggap perkara ini tak berbangkit sama sekali. Bila saya bincang dengan Tun Mahathir, saya tunjuk bahawa saya tetap hormat dia misalnya, walaupun saya sebagai perdana menteri. Tapi saya pergi ke rumah dia, saya tak benarkan dia datang rumah saya. Tapi macam mana pun bila kita bincang saya perlu buat keputusan sebagai perdana menteri.

SOALAN: Dia (Tun Mahathir) faham bila (Datuk Seri) jumpa dan memberi penerangan tetapi kenapa ditimbulkan lagi perkara ini?

PM NAJIB: Dia ada satu dua perkara dia nak saya buat. Tapi saya dah beri pandangan atas perkara ini. Misalnya dia tak setuju BR1M, dia minta saya buat jambatan bengkok ganti Tambak Johor. Saya dah bagi pandangan atas perkara ini. Saya anggap ini sebagai perbincangan antara dua individu…agak sihat kalau ada perbezaan pendapat tapi macam mana pun akhirnya saya kena bertanggungjawab kepada rakyat dan parti. Dan kebanyakan perkara ini saya bawa dalam Kabinet dan Kabinet akan putuskan perkara ini.