Soal Jawab Najib Razak Edisi Khas – Bahagian 5 : 1MDB

SOALAN: Datuk Seri, saya nak beralih kepada soal 1MDB. Ada pihak-pihak yang mendakwa urus niaga 1MDB dengan didalangi beberapa personaliti tertentu amatlah meragukan sekali. Apa komen Datuk Seri?

PM NAJIB: Saya nak jelaskan bahawa 1MDB merupakan sebuah badan yang kita sifatkan sebuah investment company. Bermula dengan capital hanya RM1 juta saja berbanding dengan PNB, Khazanah dan badan-badan lain kita beri macam-macam suntikan modal. Tapi untuk 1MDB cuma RM1 juta saja.

Bila 1MDB nak kembangkan perniagaan, dia terpaksa meminjam tapi aset-aset yang telah pun diperoleh oleh 1MDB melebihi liabiliti. Ini saya nak tekankan… melebihi liabiliti. Kita perlu beri lebih masa kepada 1MDB untuk membangunkan atau mencairkan aset-aset ini supaya dia dapat melunaskan hutang-hutangnya. Kita boleh pertikai business model, saya sedia dengar pandangan-pandangan berbeza tapi apa saya nak tegaskan di sini, saya tak condone, tak boleh terima kalau ada apa-apa salah guna kuasa dalam 1MDB. Misalnya duit dilesapkan…dan sebagainya.

Sebab itu bila Deloitte sebagai auditor telah sahkan auditnya, saya masih tak puas hati. Saya dah bawa cadangan dalam Kabinet supaya Ketua Audit Negara menyemak balik secara terperinci. Dan setelah Ketua Audit Negara menyemak, saya minta PAC (Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara) teliti pula. Dalam PAC ada pembangkang, mereka boleh bincang laporan audit.

Apa saya nak katakan, biarlah proses ini berjalan…bagi tempoh. Sebab kalau kita dakwa, ada banyak beza kalau kata duit dilesap atau pinjam, rizab. Saya juga minta Ketua Audit sahkan adakah tidak duit 1MDB diguna untuk buat filem umpamanya. Saya nak tahu dan ini antara perkara-perkara yang mesti ditentukan laporan ketua audit dan mesti disahkan atau sebaliknya oleh PAC.

SOALAN: Adakah Datuk Seri pohon pengurusaan 1MDB agar lebih transparent dalam urus niaga akan datang supaya rakyat dapat maklumat secukupnya?

PM NAJIB: Ya, begitulah dengan penyusunan semula pengurusan 1MDB saya harap sedemikian. Begitu juga kita umumkan program rationalisation…kita sekarang dalam langkah pelaksanaan rationalisation 1MDB. Kita perlu tempoh masa sikit tetapi pelannya sudah disediakan dan kita dalam peringkat pelaksanaan.

SOALAN: Tadi Datuk Seri sebut pembikinan filem yang dituduh daripada 1MDB. Kenapa Datuk Seri bangkitkan soal pembikinan itu. Apa implikasinya?

PM NAJIB: Sebab ada dakwaan-dakwaan sedemikian. Saya tidak mahu mempertahankan apa-apa sebab ia melibatkan ahli keluarga tapi saya nak Ketua Audit mengesahkan perkara ini.