Soal Jawab Najib Razak Edisi Khas – Bahagian 6: Akta Hasutan

SOALAN: Saya nak beralih kepada Akta Hasutan. Pada satu ketika dahulu Datuk Seri sendiri menyatakan kemungkinan Akta Hasutan ini akan dikaji semula. Tapi baru-baru ini keputusan telah dibuat bahawa Akta Hasutan akan kekal. Jadi banyak pihak yang mengkritik Datuk Seri atas keputusan yang berubah-ubah ini. Apa komen Datuk Seri?

PM NAJIB: Sebenarnya bila saya kata Akta Hasutan akan dikaji semula ia tidak bererti bahawa peruntukan-peruntukan yang menjadikan sesuatu bentuk dakwaan yang boleh disifatkan sebagai hasutan tidak kita masukkan dalam akta baharu. Cuma nama Akta Hasutan, Sedition Act itu boleh dianggap sebagai controversial sebab asal usul ‘sedition’ itu dikaitkan dengan peristiwa-peristiwa yang dahulu. Jadi kita nak melihat dalam sudut lebih positif. Ia misalnya air dalam gelas. Separuh kosong kah separuh penuh. Itu sahaja. Tapi saya sedar dalam negara kita ini negara yang berbilang kaum dan berbilang agama kita mesti ada undang-undang yang menyekat dan membanteras sesiapa yang boleh membuat dakwaan, kenyataan dan apa-apa berita dalam majalah, tulisan dan sebagainya yang boleh menghasut rakyat, membenci rakyat, sehinggakan timbul rusuhan. Perbalahan dan rusuhan.

Dan ini mempertahankan semua kaum, semua kepercayaan bukan sahaja orang Islam, orang Melayu tetapi yang bukan Islam, yang bukan Melayu juga dipertahankan. Supaya negara kita ini aman. Kalau kita tidak sentuh soal agama, tidak menghina agama orang lain, tidak menidakkan soal kewarganegaraan orang lain, tidak mengatakan orang itu pendatang dan sebagainya, amanlah negara kita.

Ini tidak bererti bahawa kita tidak boleh mengkritik kerajaan. Sebab dalam pindaan akta ini kita kata peruntukan mengkritik kerajaan itu kita mansuhkan. Kalau dulu misalnya kita boleh dakwa mana-mana pihak yang mengkritik kerajaan sebab ada peruntukan dalam Sedition Act yang sedia ada. Kita dalam pindaan Sedition Act kita mansuhkan. Mereka boleh kritik kerajaan. Tetapi kritik kerajaan bukan bererti mereka boleh menghasut rakyat menjatuhkan kerajaan melalui tunjuk perasaan umpamanya. Itu salah. Tapi kalau dia kata tukar kerajaan waktu pilihan raya itu tidak salah.

Jadi inilah yang nak diamalkan dalam negara kita bahawa sistem demokrasi yang sihat dan bertanggungjawab. Sebab saya sebagai perdana menteri, tanggungjawab saya adalah menjaga keamaman dan keselamatan negara kita. Kalau tiada keamanan, keselamatan negara, tiada apa guna bagi kita semua.

SOALAN: Ada juga kalangan parti pembangkang yang beranggapan bahawa Akta Hasutan ini sebenarnya ialah untuk memerangkap mereka. Adakah ini benar?

PM NAJIB: Tidak benar. Mereka pembangkang mereka boleh kata, mereka boleh kritik kerajaan, mereka boleh kata kerajaan tidak bagus, mahu tukar kerajaan waktu pilihan raya, mereka boleh kata. Tentu sekali ini amalan demokorasi. Yang kita tidak mahu kalau mereka mengeksploit soal-soal agama, soal-soal kaum yang menghasut rakyat. Kalau mereka menghasut rakyat, rakyat marah, timbul perbalahan, kesudahannya berlaku rusuhan kaum, antara agama dan sebagainya. Siapa yang akan menderita? Rakyat yang akan menderita. Negara rosak. Jadi inilah yang kita mahu elakkan.

SOALAN: Akta Hasutan mungkin terguna pakai untuk masalah yang wujud di dalam negara. Tetapi sekarang ini muncul pula ancaman terbaharu kepada negara iaitu ancaman pengikut-pengikut IS. Jadi bagaimanakah Datuk Seri melihat kerajaan akan menangani perkara ini daripada berlarutan?

PM NAJIB: Itu sebab kita memperkenalkan akta baharu ini. Supaya kita boleh bertindak dengan kekuasaan baharu. Tetapi ia dikhususkan kepada soal violence extremism. Pengganas-pengganas menggunakan kekerasan, bakal menggunakan kekerasan. Saya tahu yang dipertikaikan ia merupakan preventive detention, ada element preventive detention. Tetapi ia tidak boleh disamakan dengan ISA sebab kuasa menahan ini kuasa badan khas yang terdiri daripada mungkin hakim atau bekas hakim, orang yang ada kredibiliti. Bukan kuasa yang diberikan kepada badan eksekutif.

Jadi kalau kita nak tahan orang pun, kita mesti memberi bukti yang boleh meyakinkan badan khas ini dan mereka boleh membuat keputusan. Kalau kita tunggu sesuatu kejadian berlaku, katalah sebuah bom telah diletupkan, tentu kesan yang cukup dahsyat, implikasinya cukup buruk. Jadi sebelum sesuatu itu berlaku, kita ambil tindakan di bawah akta yang baharu ini tetapi kita mesti ada bukti yang cukup. Misalnya kita sudah tahu dia sudah ada bom, nak buat bom, tunggu masa sahaja nak bergerak, nak bertindak, masa itu kita boleh ambil tindakan di bawah akta yang baharu.