TMI Mohon Maaf Setelah Fitnah Majlis Raja-Raja

Ini bukan kali pertama, selepas menerbit dan membiarkannya dalam tempoh yang panjang, The Malaysian Insider, portal yang dimiliki oleh Tong Kooi Ong, meminta maaf. Itu pun selepas laporan polis dibuat ke atas mereka dan tindakan undang-undang dikenakan.

Dan permohonan maaf tersebut dibuat pada ketika The Malaysian Insider melihat tiada ruang untuk mereka berganyang dan menegakkan benang basah di mahkamah.

Tindakan The Malaysian Insider menfitnah Majlis Raja-Raja pada 24 Mac lalu, kononnya Majlis Raja-Raja telah menolak pindaan Perlembagaan bagi perlaksanaan Enakmen Syariah Kelantan (II) telah menimbulkan kemarahan sebahagian besar rakyat Malaysia khususnya orang Melayu. The Malaysian Insider dalam laporannya menyebut, mereka mendapat maklumat daripada ‘sumber yang boleh dipercayai’ bahawa Majlis Raja-Raja telah bersidang dan menolak pindaan tersebut.

Ekoran fitnah tersebut, pihak berkuasa telah menyerbu pejabat The Malaysian Insider dan menahan beberapa orang petugas kanan dan beberapa orang kakitangan yang lain untuk membantu siasatan. Ternyata, laporan mereka tiada asas dan The Malaysian Insider sekadar melakukannya dengan niat mencipta polemik, kontroversi dan provokasi.

Setelah hampir sebulan, The Malaysian Insider membuat pengumuman mereka memohon maaf di atas ‘kesilapan laporan’. Walaupun artikel berkenaan telah ditarik balik pada 31 Mac sedangkan laporan polis dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja adalah pada 26 Mac, artikel berkenaan masih dikekalkan dalam senarai paling popular The Malaysian Insider.

Menariknya dalam banyak hal, The Malaysian Insider sememangnya sengaja berbuat silap dalam setiap laporan mereka!

Budaya minta maaf bila dah buat silap, memang bagus, tetapi minta maaf atas perbuatan yang disengajakan untuk mencetuskan ketidaktenteraman di kalangan masyarakat, dan kemudian diulang-ulang pada bahagian yang lain pula, merupakan satu tindakan memperolok-olokkan undang-undang dan intelek rakyat Malaysia sendiri termasuklah di kalangan penyokong pembangkang.

http://theflyingkick.blogspot.com/2015/04/setelah-puas-menfitnah-sekarang.html