1MDB Akan Ambil Tindakan Undang-Undang Selepas Selesai Semua Siasatan

Lembaga Pengarah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hari ini berikrar akan mengambil tindakan undang-undang ke atas mana-mana pihak yang memfitnah mereka sebaik selesai siasatan Audit dan Jawatankuasa Parlimen.

Dalam kenyataan media petang tadi, Lembaga Pengarah turut menyatakan akaun kewangan mereka telah diaudit dengan baik oleh auditor antarabangsa tanpa sebarang teguran serius.



Kenyataan media oleh Lembaga Pengarah, 1Malaysia Development Berhad, pada 15 Mei 2015:

Akaun 1MDB yang diaudit oleh firma audit antarabangsa.

1. Lembaga Pengarah ingin menegaskan bahawa akaun 1MDB diaudit oleh sebuah firma audit antarabangsa, Deloitte.

2. Deloitte tidak mempunyai sebarang masalah dengan akaun 2013 dan 2014. Begitu juga KPMG yang tidak mempunyai masalah dengan akaun 2010, 2011 dan 2012.

3. Lembaga Pengarah mengambil serius fitnah dan tuduhan yang berniat jahat dan mempunyai hak untuk mengambil tindakan undang-undang.

4. Ketika ini, Lembaga Pengarah dan Pengurusan 1MDB bekerjasama dengan Ketua Audit Negara, Polis Diraja Malaysia dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara untuk melaksanakan penilaian terhadap syarikat.

5. Khususnya, Ketua Audit Negara sedang menjalankan penilaian bebas terhadap akaun 1MDB, seperti dipersetujui Kabinet Malaysia.

6. Sehubungan itu, kami meminta kesabaran dan pemahaman orang ramai dan pihak yang berminat supaya menunggu hasil penilaian itu. Kami meminta agar tiada mana-mana pihak yang akan menilai perkara itu tanpa fakta menyeluruh sebelum penilaian diumumkan kepada orang ramai.

7. Kami mempunyai keyakinan penuh terhadap Deloitte dan Ketua Audit Negara, begitu juga 100% pemegang saham kami, Menteri Kewangan Diperbadankan.

8. Lembaga Pengarah memberi jaminan bahawa jika terdapat penemuan yang bercanggah, ia akan mengambil langkah dan tindakan yang bertanggungjawab.