Akar Umbi Pemuda PAS Permatang Pauh Bantah Wan Azizah Sebagai Calon

Ketika penyokong pembangkang menyertai demonstrasi membantah pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) di ibu negara, lain pula ceritanya di Permatang Pauh apabila sekumpulan ahli PAS mengadakan perhimpunan menolak calon PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Sambil melahirkan kekecewaan dengan pendirian PKR yang tidak menyokong rang undang-undang persendirian berhubung bidang kuasa mahkamah syariah di Dewan Rakyat yang dibawa oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang, kumpulan itu juga menuntut permohonan maaf kepada Presiden PAS tersebut.

Lebih parah, apabila kumpulan itu turut mengugut untuk merosakkan undi kepada Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh yang akan diadakan pada 7 Mei ini.

“Kalau dok maki tok guru (Hadi) kita macam mana? Minta maaf dulu baru kita boleh buat kerja (kempen). Jangan dok maki tok guru kami.

“Jangan harap golongan yang menghina ulama kami nak dapat undi kami,” kata Ketua Penerangan PAS Kawasan Bagan, Azmi Jaafar.

Berucap diatas lori yang biasa dijadikan pentas ceramah dengan menggunakan pembesar suara, perhimpunan yang diadakan selepas solat Jumaat itu turut mengecam DAP berhubung isu hudud.

“Kami ada maruah dan umat Islam di Permatang Pauh juga ada maruah, jangan senang-senang menghina kami.

“Kalau ada yang keluar undi, mereka akan rosakkan undi, depa (mereka) tak akan undi Umno, kami di tarbiyah untuk sokong orang yang bawa Islam.

“Kalau tidak sokong hudud, untuk apa kami nak pangkah depa. Kami nak pangkah orang yang bawa Islam, yang nak bawa hudud ke Parlimen dan kemudian dibentangkan oleh Presiden kami,” katanya.

Selain itu Azmi turut memberi peringatan kepada Dr Wan Azizah supaya tidak menjadikan isu pemenjaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai modal meraih simpati.

“Pengundi PAS di sini lebih 10,000, jangan main-main ini adalah amaran kepada Wan Azizah, jangan ambil undi simpati daripada Anwar Ibrahim.

“Kalau kamu zalim pada kami, kami juga akan zalim pada mereka, kami tidak akan undi,” katanya.

Menurut Azmi lagi, perhimpunan itu turut dimaklumkan kepada PAS Kawasan Permatang Pauh yang sebelum ini turut mencetuskan kontroversi untuk memboikot kempen PKR.